Jumaat, 1 November 2019 | 6:30pm
PELAKON dan penyanyi, Isa Khan. - NSTP/Aziah Azmee
PELAKON dan penyanyi, Isa Khan. - NSTP/Aziah Azmee

Digosip bakal nikahi Risteena, Isa belum sedia buka mulut

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Isa Khan, belum bersedia membuat sebarang penjelasan berhubung khabar angin dirinya bakal mendirikan rumah tangga dengan Risteena Munim.

Sebaliknya, menerusi perkongsian di Instagram, semalam, dia meminta agar semua pihak mendoakan segala urusannya dan buah hati dipermudahkan.

"Kepada sahabat media, minta maaf aku belum bersedia untuk memberikan sebarang kenyataan. Minta doa daripada kalian moga semuanya dipermudahkan buat aku dan dia,” tulisnya.

Isa turut memuat naik foto mesra bersama seorang wanita bersama status terbabit.

ISA Khan terus menimbulkan tanda tanya mengenai hubungan dengan pelakon, Risteena Munim, apabila berkongsi luahan romantik di Instagramnya, semalam.
ISA Khan terus menimbulkan tanda tanya mengenai hubungan dengan pelakon, Risteena Munim, apabila berkongsi luahan romantik di Instagramnya, semalam.

Menerusi perkongsian sama, dia meluahkan kata-kata romantik, dirinya kini dalam fasa yang begitu membahagiakan.

"Sayang, kamu muncul dalam hidup pada saat aku tidak mempunyai sesiapa. Kamu memberi segala erti dan semangat yang baharu dalam hidupku.

“Kamu menerima dan mempercayai aku walaupun banyak manusia jahat cuba untuk meracuni fikiran kamu, namun tetap berani untuk mencintaiku.

"Walaupun semuanya terjadi dengan sangat cepat, tetapi aku berasa sudah lama mengenali dirimu. Kamu seorang wanita yang sangat sempurna," katanya.

Dalam pada itu, Isa turut berjanji akan melindungi dan menjadikan kekasihnya sebagai wanita paling bahagia di dunia.

"Kamu seorang wanita yang sangat sempurna, sayang. Aku berjanji akan menjadikan kamu wanita yang paling bahagia di dunia ini. Aku akan menjaga, melindungi dan menyayangi kamu sepenuh hati sepanjang hidupku.

"Aku cuma mahu kamu tahu, kamu adalah perkara yang terindah dan kamu adalah sebahagian terbesar dalam hidup aku sekarang. Insya-Allah... Tuhan kirim kamu ke dalam hidup aku sebagai jodoh. Terima kasih kerana mencintai aku dengan setulus hati kamu. Aku takkan kecewakan kamu," ujarnya dengan menyertakan sekali tanda pagar #countingdays (menghitung hari).

PELAKON, Nur Risteena Munim, kini hangat digosip bercinta dengan Isa Khan. - NSTP/Rohanis Shukri
PELAKON, Nur Risteena Munim, kini hangat digosip bercinta dengan Isa Khan. - NSTP/Rohanis Shukri

Terdahulu, Isa dan Risteena, yang juga seorang pelakon, mendapat perhatian ramai selepas kakak kepada Ruhainies itu berkongsi foto dan video seorang lelaki berserta emoji cinta.

Malah, Risteena juga pernah memuat naik foto bersama Isa dan kakak aktor itu, Farali Khan, berserta kapsyen gambar 'keluarga'.

Berita Harian X