Sabtu, 2 November 2019 | 9:01am
PELAKON, Rabecca Nur Al Islam, ketika hadir pada sidang media Anugerah Skrin 2019 di Kuala Lumpur. - NSTP/Aziah Azmee

Saya sudi jaga Muhammad Arfan - Rabecca

KUALA LUMPUR: Naluri keibuan pelakon, Rabecca Nur Al Islam, tersentuh saat melihat kedukaan dialami kanak-kanak yatim piatu, Muhammad Arfan Ziqri, yang kehilangan ibu bapa dalam kecelakaan jalan raya.

Malah, menerusi perkongsian di laman sosial, bintang filem Keramat itu akui berbesar hati untuk membela si kecil berusia setahun 10 bulan itu.

“Kalau tiada waris yang yang boleh menjaga Muhammad Arfan, saya sudi untuk membesarkannya. Hati saya memang cepat tersentuh dan terguris kalau membaca berita mengenai anak kecil yang hilang tempat bergantung.

“Apatah lagi jika membaca berita mengenai anak yang didera tanpa perikemanusiaan. Ia membuatkan saya jadi sedih bercampur geram.

“Saya memang sayang dan sukakan kanak-kanak. Hati saya mudah tewas dengan anak kecil,” katanya kepada BH Online.

Menurut Rabecca, 33, dia sendiri sudah mempunyai beberapa anak angkat.

“Menjadi kebiasaan saya, jika ada anak kecil yang dilihat memerlukan perlindungan dan jagaan, mereka akan dibawa pulang ke rumah. Sekalipun sudah mempunyai anak kandung, saya seronok dapat menambahkan ‘zuriat’.

“Kalau tiada siapa yang sanggup menyalurkan kasih sayang buat mereka, saya sudi berbuat demikian,” katanya.

Ujar Rabecca, cerita Muhammad Arfan, yang mengusik hati ramai orang, benar-benar menjentik hatinya.

Ibu bapa Muhammad Arfan, Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30, yang bertugas di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, dan Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang mereka merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, 29 Oktober lalu.

“Dia masih terlalu kecil untuk memahami suratan yang terjadi. Tak sanggup saya melihat wajahnya yang naif,” katanya.

Rabecca mendirikan rumah tangga dengan Datuk Nor Azam Sulaiman pada Januari 2011. Rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata, Nor Anggun Raverra, 7, Nor Anggerik Renesmee, 6, Nor Aliff Al-Raffael, 3, Nor Ahmat Al-Reaggan, setahun 3 bulan.

Dia juga mempunyai anak angkat, Nor Adam Daniel, 11, dan Nor Aurora Riana, 10 bulan, selain dua anak tiri.

Berita Harian X