Ahad, 3 November 2019 | 8:59am
PELAKON, Fasha Sandha, ketika menghadiri majlis pelancaran ubat gigi sebuah jenama terkenal di Putrajaya. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Fasha fobia kongsi berita kehamilan

PUTRAJAYA: Pelakon, Fasha Sandha, 35, enggan mengesah atau menafikan berita yang mendakwa dirinya kini kembali berbadan dua.

Sebaliknya, bintang Teratai Kemboja itu meminta semua pihak mendoakan yang baik-baik untuknya.

"Insiden keguguran beberapa bulan lalu membuatkan saya fobia untuk berkongsi berita mengenai kehamilan. Cukuplah anak-anak saya terkesan dengan apa yang berlaku, sebelum ini. Saya tidak lagi mahu membuatkan mereka berasa hampa

"Saya juga tidak mahu mengiyakan atau menafikan mengenai perkara itu (hamil). Cuma, saya mengharapkan doa yang baik-baik daripada anda semua," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran ubat gigi Aurawhite, di sini.

Mengambil iktibar atas apa yang pernah berlaku ke atasnya, sebelum ini, Fasha berkata, dia hanya akan berkongsi berita baik berkenaan pada waktu dianggap sesuai.

"Saya tetap akan berkongsi berita gembira itu, tetapi mungkin selepas saya bersalin nanti," ujarnya yang ketika ini masih menjalani penggambaran drama bersiri berjudul The Tales of Two Sisters.

Desas-desus mengatakan isteri kepada pelakon, Aidil Aziz, 32, ini hamil timbul apabila beberapa keping gambar dimuat naik di laman Instagram aktres terbabit menampakkan bentuk perutnya yang semakin membesar.

Bagaimanapun, sehingga kini Fasha masih mengunci mulut walaupun ramai yang menginginkan kesahihan mengenai perkara berkenaan di ruangan komen laman sosialnya.

Fasha mendirikan rumah tangga dengan Aidil pada Mac lalu. Ia adalah perkahwinan kedua buat pelakon filem Blok 404 itu.

Menerusi perkahwinan pertamanya, bintang jelita berkenaan dikurniakan dua anak, Putra Rayfal Ramli, 6, dan Putri Raysha Jemyma, 4.

Pada 10 Jun lalu, Fasha menerusi perkongsian di Instagramnya mengumumkan dirinya mengalami keguguran. Sebelum itu, pada 21 Mei, dia mendedahkan sedang berbadan dua.

Berita Harian X