Ahad, 3 November 2019 | 1:02pm
PELAKON, Fizo Omar, bersama anak tunggalnya, Wan Maryam. - NSTP/Rosela Ismail

Fizo belum temui pengganti

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fizo Omar, menegaskan belum bertemu pengganti selepas bercerai dengan bekas isterinya, Mawar Karim.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Omar, 34, berkata, ketika ini dia memberikan sepenuh tumpuan kepada anak tunggalnya, Wan Maryam.

Begitupun, bintang Isyarat Cinta itu tetap berharap dikurniakan rezeki untuk menimang lebih ramai cahaya mata pada masa akan datang.

“Setakat ini, saya belum bertemu pengganti, mungkin kerana saya sendiri tidak berusaha mencari teman hidup. Apatah lagi, fokus ketika ini diberikan kepada Cik Yam (Maryam) dan kerjaya. Insya-Allah, apabila tiba masanya nanti, adalah (jodoh).

“Semestinya sebagai lelaki, saya mempunyai hasrat untuk berkahwin dan dikurniakan lebih ramai zuriat sebagai teman kepada Cik Yam.

“Mungkin juga status duda disandang ketika ini membuatkan ramai yang takut untuk mendekati. Namun, saya enggan tergesa-gesa mencari teman baharu, sebaliknya menyerahkan kepada Allah untuk menentukannya,” katanya kepada BH Online.

Fizo dan Mawar, yang mendirikan rumah tangga pada November 2013, bercerai talak satu pada 10 Julai lalu. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam, yang kini berusia dua tahun.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Fizo kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri, Adellea Sofea, arahan Shahrulezad Mohameddin, untuk saluran TV3.


FIZO dan Mira berlakon bersama dalam drama Adellea Sofea yang bakal disiarkan menerusi TV3. - Foto Instagram Fizo Omar

Drama adaptasi novel itu turut menampilkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-32, Mira Filzah, dan Ungku Ismail selaku teraju utama.

“Saya sudah lama tidak berlakon drama bersiri. Boleh dikatakan, hampir lima tahun saya tidak berbuat begitu, iaitu sejak berkahwin dahulu.

“Selepas menyusun semula jadual, saya menerima tawaran menjayakan drama arahan Shahrulezad, dengan membawakan watak jahat. Menerusi lakonan terbaru ini, saya sedia untuk dicaci. Malah, saya sendiri geram melihat lakonan yang dijayakan.

“Menurut pengarah, saya membawakan watak jejaka berwajah kacak, namun karakter hitam. Saya mencabar diri dengan membawakan karakter berkenaan kerana sebelum ini, selalu sahaja diberikan watak baik,” kata Fizo.

Berita Harian X