Ahad, 3 November 2019 | 7:13pm
SHAHIRAH memberi kebebasan kepada anaknya memilih bidang yang diminatinya. Foto IG Sharifah Shahirah

Shahirah bangga anak sulung terima diploma

KUALA LUMPUR: Pengacara dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah bangga melihat anak sulungnya, Allisya Tahir menggenggam diploma dalam jurusan Pengajian Komunikasi dan Media, semalam.

Shahirah yang lebih mesra disapa Shiera, 45, berkata biarpun terpaksa berdepan pelbagai dugaan, dia bersyukur anak hasil perkahwinan pertama dengan vokalis Black Dog Bone, Jatt itu dapat menamatkan pelajarannya.

“Meskipun hanya pada peringkat diploma, saya berbangga dengan pencapaian Allisya yang kini bekerja mengendalikan media sosial di sebuah agensi.

“Buat masa ini, Allisya belum mempunyai sebarang perancangan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Saya juga tidak mahu memaksanya dan kalau boleh, biar keinginan itu datang dari hatinya sendiri,” katanya.

Selain Allisya, Shahirah dikurniakan empat lagi anak iaitu Airell, Airra, Audrra dan Adeena, hasil perkongsian hidup dengan pelakon, Ijoy Azhari.

Shahirah berkata, selesai majlis konvokesyen di Subang Jaya, Selangor, dia bergegas membawa Allisya bertemu ayahnya di Shah Alam untuk merakamkan gambar kenangan.

“Kebetulan, Jatt berada di ibu negara selama tiga hari kerana terikat dengan sesi latihan dan persembahan untuk siaran langsung Gegar Vaganza musim keenam.

“Apabila Allisya memberitahu ingin mengabadikan kenangan manis itu bersama ayahnya, saya bergegas membawanya ke tempat latihan Jatt,” katanya.

Dilihat sering mempromosikan bakat anaknya itu di laman sosial, Shahirah akur, sekiranya gadis itu berminat mengikut jejaknya sebagai insan seni.

“Allisya sudah merakamkan single pertama ciptaan Sharon Paul pada Ramadan lalu, namun belum sempat dilancarkan kerana kekangan masa.

“Saya restu apa yang dilakukan Allisya kerana percaya bakat harus dikongsi. Saya juga orang seni, jadi terpulang kepada Allisya untuk memilih kerjaya mengikut minatnya,” kata penyampai radio Suria FM itu.

Berita Harian X