Selasa, 5 November 2019 | 4:36pm
NAQIU tidak menyangka penyertaan dalam Gegar Vaganza musim keenam mengubah perjalanan hidupnya. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Naqiu enggan lagi ikut telunjuk orang

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang pernah mencetus fenomena bersama kumpulan Boboy, Naqiu mengakui, pernah kecewa dengan industri muzik, membuatkan dia berat hati untuk kembali bergiat aktif.

Katanya, selepas kontrak bersama syarikat rakaman terdahulu berakhir, perjalanan kerjaya seni Boboy bagaikan terumbang-ambing sehingga semangatnya untuk terus bertahan dalam industri muzik terhakis.

“Ia lebih kepada hala tuju kami dalam industri muzik. Ketika menghasilkan album pertama dan kedua, kami masih boleh bertolak ansur dengan mengikut kemahuan syarikat rakaman serta pasaran.

“Ketika itu, kami masih naif dengan industri muzik. Tetapi, apabila usia semakin meningkat, saya terfikir sampai bila Boboy mahu mengikut telunjuk orang?

“Saya faham kehendak pasaran, tetapi jangan tunduk 100 peratus. Kita juga perlu ada prinsip yang mahu diperjuangkan. Itu antara sebab yang membuatkan saya beralih dengan menyanyi di kelab,” katanya.

Naqiu atau nama lengkapnya Wan Naqiuddin Mohd Najib berkata, selama 12 tahun menyepi, hatinya tidak pernah terlintas untuk kembali bersaing dalam arus muzik perdana.

“Memang banyak pihak mencadangkan supaya saya kembali bersaing, termasuk menyertai Gegar Vaganza (GV). Cuma, saya hati belum terbuka, terutama apabila memikirkan apakah ia tempat yang sesuai untuk saya kembali menggilap bakat.

“Selepas berkahwin, saya anggap era sebagai penyanyi komersial sudah berakhir dan fokus saya hanya menyanyi di kelab malam. Tidak sangka penyertaan dalam GV6 mengubah perjalanan hidup saya,” katanya.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia bagaikan berhadapan dengan ‘kejutan budaya’ apabila tiba-tiba meraih populariti dan setiap langkahnya menjadi perhatian.

“Dahulu, saya bebas ke mana-mana, tetapi sekarang, biarpun cuma singgah di kedai mamak, ada sahaja yang mendekati untuk mengambil gambar.

“Pada mulanya, saya tertanya-tanya juga, apa sebenarnya berlaku. Popular ke saya? Impak GV6 cukup besar apabila jumlah pengikut saya di laman Instagram semakin bertambah,” katanya.

Berita Harian X