Rabu, 6 November 2019 | 5:40pm
Humperdinck akan mendendangkan rangkaian lagu popularnya pada persembahan istimewa di Hotel Ames di Ayer Keroh, Melaka, lusa. Foto Ihsan Jojo Events

'Raja Cinta' Engelbert Humperdinck temui peminat di Melaka

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran digelar Raja Cinta (The King Of Romance), Engelbert Humperdinck akan menghiburkan peminat pada majlis makan malam di Ayer Keroh, Melaka, lusa.

Bertempat di hotel lima bintang, Hotel Ames, acara anjuran Yayasan Toh Puan Zurina dan Jojo Events itu akan menyaksikan Humperdinck beraksi selama 90 minit mendendangkan rangkaian lagu nostalgia.

Bukan sekadar berhibur, Konsert Engelbert Humperdinck Live In Malaysia itu akan menyerahkan sebahagian daripada hasil jualan tiket kepada Yayasan Toh Puan Zurina bagi tujuan amal.

Pemilik Jojo Events, Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir menyifatkan persembahan Humperdinck bakal menjadi sesuatu yang cukup manis, indah dan epik.

“Persembahan Humperdinck pasti sukar untuk dilupakan kerana vokal yang sangat sedap didengar. Suaranya merentasi masa dengan genre pop balada tradisional,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Syed Yusof, penyanyi berusia 83 tahun itu akan menyanyikan seleksi lagu popularnya.

“Lebih istimewa, beliau akan menyanyikan single terbaru berjudul You,” katanya.

Bagi yang mahu menyaksikan persembahan Humperdinck yang popular dengan lagu seperti Release Me dan Quando, Quando, Quando itu boleh menempah meja bernilai RM15,000 untuk 10 orang.

Peminat boleh menghubungi Nur Raifana Mohamad Salleh di talian 017-6167216, Nazirah Abu Shah (016-3378673) dan Ronnie Krishnan (019-3231717).

Berita Harian X