Rabu, 6 November 2019 | 7:01pm
Pelakon, Nadia Brian, membuat laporan di Balai Polis Sri Hartamas terhadap sebuah portal yang didakwa menerbitkan artikel memburukkan namanya. - NSTP/Farhana Ab Rahman

Dakwa nama tercemar, Nadia buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadia Brian, membuat laporan di Balai Polis Sri Hartamas, di sini, hari ini, terhadap sebuah portal yang didakwa menerbitkan artikel memburukkan namanya.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi mengakui terkesan dengan penyiaran artikel terbabit sehingga menjejaskan diri dan keluarga.

“Pihak terbabit mengambil kesempatan apabila saya mendiamkan diri. Apatah lagi, maruah saya dijadikan objek untuk mengaut keuntungan,” katanya kepada BH Online.

Nadia mendakwa portal terbabit menerbitkan artikel berkenaan dengan niat jahat apabila menggunakan gambar sekitar majlis ‘bridal shower’, baru-baru ini.

Malah, dakwanya, komen disiarkan bukan diambil daripada Instagram atau Facebooknya, sebaliknya daripada sumber lain.

“Sehingga 5 November lalu, artikel berkenaan dikongsi di Facebook sebanyak 41 kali, mendapat lebih 2,900 reaksi dan 494 komen. Saya percaya, artikel itu berniat untuk mencemarkan nama saya sebagai artis dan usahawan,” katanya.

Nadia yang ditemani oleh peguamnya, Muhammad Nur Aizat Noor Azam, bakal menghantar notis tuntutan kepada portal berkenaan selain tempoh tujuh hari untuk pihak terbabit memberikan maklum balas.

“Tindakan selanjutnya akan diambil selepas tarikh itu tamat.

“Ini bukan kali pertama saya diperlakukan sebegini oleh pihak berkenaan. Tindakan diambil kerana saya sememangnya terkesan dengan artikel terbabit. Ia memberi tempias bukan sahaja kepada saya dan keluarga, tetapi pihak bakal mentua turut terkesan.

“Banyak perkara bermain di fikiran ketika ini kerana tarikh mendirikan rumah tangga tinggal beberapa hari sahaja lagi. Semakin serabut apabila dibebani dengan cerita negatif sebegini kerana ia turut memberi impak kepada kerjaya,” katanya.

Nadia dan pilihan hatinya, Muizz Nasruddin, bakal berkahwin pada 9 November ini. Pasangan berkenaan bertunang pada 4 Mei lalu dalam majlis diadakan di Shah Alam, Selangor.

Berita Harian X