Sabtu, 9 November 2019 | 2:15pm
BEKAS pengurus artis, Mas Omar, meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya di Petaling Jaya, awal pagi tadi.

Mas Omar meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas pengurus artis, Mas Omar, 64, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, akibat sesak nafas, jam 2.50 pagi tadi.

Mas Omar atau nama sebenarnya Mohammad Omar berada dalam keadaan uzur akibat masalah jantung dan pernah menghidap angin ahmar sejak beberapa tahun lalu.

Isterinya, Sawiah Ali, berkata arwah menghembuskan nafas terakhir di hadapan keluarga.

"Arwah Mas Omar tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum diserang sesak nafas secara tiba-tiba. Dia cakap sakit dada, jadi anak saya mengurutnya secara perlahan-lahan.

"Selalunya, keadaan bertambah baik selepas diurut, tetapi kali ini, arwah terus memejamkan mata.

"Pegawai perubatan mengesahkan arwah mengalami serangan jantung," katanya.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Taman Medan Cahaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan PJS 4, Taman Medan, Petaling Jaya pada jam 11 pagi ini.

Mas Omar cukup dikenali apabila pernah bertugas di beberapa syarikat rakaman seperti BMG, EMI dan SRC.

Selain itu, arwah pernah menguruskan artis seperti Datuk Nassier Wahab, Ramlah Ram, Liza Abdullah, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Datuk Shake, Datuk M Daud Kilau dan Datuk Jeffrydin.

Mas Omar juga pernah menghasilkan album Disko Dangdut Barat bersama R Jaafar pada 1984, selain Album Nasyid Pop, Seribu Bintang Berhari Raya dan Senandung ­ Mesra Aidilfitri, sebelum beralih arah kepada kerjaya sebagai pegawai perhubungan awam dan pengurusan artis.

Hasil perkahwinan dengan Sawiah, yang juga bekas pengurus artis, Allahyarham dikurniakan empat anak, Mas Sazly, Mas Sazmy, Mas Sazny dan Mas Mona.

Berita Harian X