Ahad, 10 November 2019 | 11:10am
PELAKON, Tya Arifin, seronok berkongsi petua kecantikan dan kesihatan bersama golongan wanita. - NSTP/Aziah Azmee

Tya terharu ramai ikut petua menyusukan anak

KUALA LUMPUR: Pelakon, Tya Arifin, tidak menyangka perkongsian mengenai petua kesihatan, kecantikan diri dan cara penyusuan betul di laman sosial mendapat maklum balas positif.

Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin, 25, sedar bukan mudah untuk golongan ibu, lebih-lebih lagi mereka yang julung kali menimang cahaya mata, berdepan masalah untuk menyusukan anak.

"Saya tahu, masalah gagal menyusukan anak benar-benar memberikan tekanan perasaan kepada golongan ibu. Saya turut mengalaminya ketika melahirkan anak sulung, Arif.

"Selepas seminggu menimba ilmu dengan pelbagai bahan bacaan, barulah perjalanan menyusukan anak menjadi mudah.

"Jadi, apa-apa ilmu yang ada, saya tidak mahu menyimpannya begitu sahaja. Saya ingin berkongsi pengetahuan itu agar ia boleh dimanfaatkan oleh orang ramai. Alhamdulillah, tidak sangka ramai yang memberikan maklum balas mengenai perkongsian berkenaan," katanya.

Tambah Tya, perkongsiannya turut mendapat reaksi daripada pengikut sendiri, apabila mereka menyatakan keberkesanannya selepas mengikut petua diberikan.

"Saya sangat terharu apabila mereka menunjukkan bekas susu yang dikumpul. Malah, ada yang terpaksa membeli peti ais khas bagi menyimpan susu yang diperoleh. Bukankah ia nikmat indah apabila ilmu kita dimanfaatkan untuk semua?

"Malah, kawan artis juga mengikuti perkongsian saya. Apabila menerima maklum balas sebegini, tak mungkin saya berhenti melakukannya, sebaliknya akan terus berkongsi apa sahaja ilmu buat golongan ibu, selain petua kecantikan dan kesihatan wanita," ujarnya.

TYA bersama suami, Asyraf Khalid, dan dua permata hari mereka, Arif serta Azzahra Jiwa. - Foto Instagram Tya Arifin

Dalam pada itu, usaha ibu muda ini berkongsi pelbagai petua penyusuan badan, di Instagram, turut mendapat perhatian Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memilih dirinya sebagai Ikon Selebriti Penyusuan Ibu 2019, Ogos lalu.

"Satu penghormatan dan kebanggaan buat diri saya apabila mendapat pengiktirafan itu. Pihak HKL tahu bagaimana perjalanan saya sebagai ibu yang gigih mahu menyusukan anak.

"Ia secara tidak langsung menjadi tanggungjawab besar buat saya untuk menyebarkan maklumat betul kepada umum," ujarnya.

Berita Harian X