Selasa, 12 November 2019 | 9:00am
Mizan menghargai sokongan ibu bapa dalam percubaannya bertapak sebagai penyanyi pelapis pada usia mentah. Foto NSTP Mahzir Mat Isa

Ayah pesan usah berlagak

KUALA LUMPUR: Percubaan pertama menerusi single, Ayah Ibu, awal tahun lalu, memutikkan keyakinan kepada bakat baharu, Mizan untuk meneroka potensi diri.

Di luar jangkaan, single itu mencatat 7.3 juta tontonan di YouTube, sekali gus membuatkan Mizan atau nama sebenarnya, Ahmad Hamizan Ahmad Sairi Haslan, semakin percaya bakat yang dimiliki.

Tidak menanti lama, remaja berusia 14 tahun itu kembali dengan mempertaruhkan single kedua, Keluhan Hati.

Sejak video lagu itu diperkenalkan di YouTube pada 26 Ogos lalu, Mizan mampu menarik nafas lega apabila ia mencatat jumlah tontonan lebih 3.6 juta kali.

“Sebagai penyanyi baharu, sambutan positif itu membuatkan saya semakin bersemangat membuktikan bakat,” katanya kepada BH Online.

Mizan tidak menafikan, populariti bapanya, Harry Khalifah, sedikit sebanyak membantu kemunculan awalnya hingga mendapat perhatian.

“Saya tidak kisah dikatakan menumpang populariti ayah. Saya tidak boleh lari daripada kenyataan itu kerana ayah memang dikenali ramai.

“Namun, sebagai penyanyi baharu, saya mahu dikenali atas kekuatan bakat dan keistimewaan diri. Terpulang apa orang mahu cakap kerana percubaan saya dalam bidang seni turut mendapat sokongan padu ayah,” katanya.

Berkongsi mengenai Keluhan Hati, Mizan berkata, dia berbangga dapat bekerjasama dengan ibunya menghasilkan lirik lagu itu.

“Saya berterima kasih pada ayah dan ibu yang mempercayai bakat. Mereka tidak menghalang, malah banyak membantu ketika saya mula mengorak langkah dalam bidang ini.

“Mereka membuatkan saya semakin yakin untuk berdikari dan mencari peluang lebih besar sebagai penyanyi,” katanya.

Meskipun mendapat dorongan padu keluarga, Mizan berkata, kedua-dua orang tuanya tidak pernah memaksanya aktif dalam bidang seni.

“Minat itu datang sendiri. Pada awalnya, saya hanya menyanyi untuk menghiburkan hati. Apabila ayah dengar, dia mencadangkan saya supaya memberanikan diri ke depan. Jika nak diikutkan, saya agak pemalu, malah berat mulut, terutama apabila berdepan orang tidak dikenali.

“Ibu dan ayah mengajar saya supaya lebih yakin berhadapan dengan orang ramai. Ayah juga sering menasihatkan saya supaya tidak sombong dan berlagak,” katanya.

Sementara itu, Mizan mengakui agak terkesan, apabila suaranya disamakan dengan Aiman Tino. Baginya, Masing-masing ada kekuatan tersendiri.

“Ada yang berkata, suara saya seperti Aiman, walaupun hakikatnya bukan begitu. Namun, saya tidak dapat menghalang orang ramai daripada berfikiran sedemikian kerana setiap individu mempunyai pandangan tersendiri.

“Mungkin persamaan itu dilihat kerana genre muzik kami perjuangkan hampir sama. Tetapi, saya tidak mengalah kerana ada banyak masa bagi membuktikan kemampuan. Iyalah, perjalanan seni saya baru bermula,” katanya.

Berita Harian X