Selasa, 12 November 2019 | 2:03pm
DAZRIN mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk menjaga pemakanan untuk mendapatkan berat badan ideal. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Dazrin kurus bukan sebab dadah

PETALING JAYA: Pelakon Dazrin Kamarudin, menafikan dia terbabit dengan pengambilan bahan terlarang apabila susuk tubuhnya semakin susut.

Dazrin, 31, berkata, dia tidak sanggup mengambil jalan pintas yang merosakkan tubuh, sebaliknya berat badannya susut perlahan-lahan kerana mengamalkan pemakanan sihat, selain bersenam.

“Saya tidak ambil bahan yang boleh merosakkan badan, sebaliknya mula menitikberatkan soal penjagaan pemakanan apabila berat badan pernah mencecah 89 kilogram (kg).

“Berat badan saya susut secara berperingkat. Alhamdulillah, selepas mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam, berat saya turun 19 kg,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media filem Mahathir: The Journey, di sini, semalam.

Tambah Dazrin, dia perlu menurunkan berat badan kerana perubahan fizikal yang semakin berisi membuatkannya sukar mendapat tawaran watak utama.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam Mahathir: The Journey arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan, Dazrin bakal membawa watak Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Semestinya saya gembira dan teruja apabila diberi peluang terbabit dalam naskhah ini. Gementar pun ada kerana ia sebuah filem biografi mengenai pemimpin negara.

“Tidak mudah sebenarnya membawa watak tokoh muda terkenal, tambahan pula Syed Saddiq sangat popular dalam kalangan anak muda. Apapun, saya akan lakukan yang terbaik,” ujarnya.

Mahathir: The Journey menampilkan kisah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas melepaskan jawatan itu pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.

Diterbitkan Reliance Media Group Sdn Bhd, filem yang menelan bajet RM6 juta itu akan memulakan penggambaran bulan depan.

Pelakon lain yang terbabit, termasuk Azhar Amir sebagai Tun Dr Mahathir; Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah); Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim); Dian P Ramlee (Datuk Seri Dr Wan Azizah), Lisdawati (Nurul Izzah), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Harminder Singh (Gobind Singh Deo).

Berita Harian X