Rabu, 13 November 2019 | 9:02am
PELAKON, Azlee Khairi, ketika ditemui di lokasi penggambaran drama, Seadanya Aku, di Hulu Langat. - NSTP/Aziah Azmee
PELAKON, Azlee Khairi, ketika ditemui di lokasi penggambaran drama, Seadanya Aku, di Hulu Langat. - NSTP/Aziah Azmee

Nafi dikongkong, Azlee dakwa masih suami orang

KUALA LUMPUR: Bintang Love You Mr Arrogant, Azlee Khairi, 30, menafikan dakwaan konon isterinya, Dayang Norlelawati Puteh, 36, bersikap suka mengongkong sehingga tidak mengizinkannya berlakon.

Azlee atau nama sebenarnya Azlee Khairi Zulah Hainee bagaimanapun berkata, isterinya pernah menguruskan kerjaya seninya, sebelum mereka mendirikan rumah tangga pada 2014.

“Isteri menguruskan perjalanan kerjaya saya, jadi mana mungkin dia mahu bersikap ‘queen control’? Tidak timbul isu isteri cemburu atau mengawal aktiviti lakonan saya. Ketika dia mengenali saya pun, saya adalah seorang pelakon.

“Jika tidak mengizinkan, masakan isteri memberi galakan untuk saya kembali ke dunia lakonan? Saya sudah cuba menerokai bidang lain, tetapi tidak sesuai dengan jiwa. Jadi, lebih baik saya meneruskan bidang yang diminati,” katanya yang kini sibuk di lokasi drama bersiri, Seadanya Aku, arahan Feroz Kader.

Drama terbitan Country Universal Sdn Bhd itu kembali menggandingkan Azlee bersama Zara Zya. Ia akan disiarkan menerusi slot Akasia pada pertengahan Januari depan.

Sebelum ini, timbul desas-desus mendakwa Azlee dikawal isteri selepas berkahwin dan berpindah ke Brunei Darussalam, kira-kira empat tahun lalu.

Katanya, isterinya juga akan mengejutkannya setiap pagi supaya tidak lewat ke lokasi penggambaran.

“Saya paling takut andai terlambat ke lokasi penggambaran. Jika lambat, saya akan menggelabah.

“Saya tidak suka menyusahkan orang lain yang terpaksa menunggu lama. Ada masanya, mereka mengejar waktu untuk ke lokasi penggambaran lain pula, jadi seboleh-bolehnya saya cuba elakkan perkara itu daripada berlaku,” katanya.

PELAKON, Zara Zya dan Azlee Khairi kembali bergandingan dalam drama, Seadanya Aku. - NSTP/Aziah Azmee
PELAKON, Zara Zya dan Azlee Khairi kembali bergandingan dalam drama, Seadanya Aku. - NSTP/Aziah Azmee

Pelakon Drama Lelaki Pilihan, Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur pada 2014 itu juga berkata, dia masih memegang status suami orang, biarpun ada spekulasi mengatakan rumah tangganya sudah musnah.

“Status saya masih sama, iaitu suami orang. Saya dan isteri terpaksa berjauhan selepas saya mengambil keputusan kembali ke dunia lakonan.

“Isteri sibuk menguruskan perniagaan di Brunei, jadi kami hidup berjauhan. Kadang kala, isteri datang menjenguk saya di sini. Lagi pun, dia tahu saya sedang membina semula nama yang agak tenggelam,” katanya.

Berita Harian X