Rabu, 13 November 2019 | 11:00am
IKHWAN hanya bersedia menjelaskan status hubungannya dengan Risteena selepas pulang daripada mengerjakan umrah. - Foto IG Ikhwan Khairuddin

Nanti saya jelaskan - Ikhwan

KUALA LUMPUR: Perkongsian terbaru pelakon Risteena Munim yang menggayakan busana pengantin bersama catatan ringkas: ‘Done fitting’ dan ‘counting days’ berserta emoji cincin di laman sosial, Instagram kembali menimbulkan tanda tanya.

Perkongsian itu turut mencetuskan kekeliruan, berikutan pelakon yang popular menerusi drama rantaian, Playboy Itu Suami Aku masih belum menjelaskan status hubungan cintanya dengan pelakon Ikhwan Khairuddin.

Pasangan itu, sebelum ini, dikatakan bakal disatukan pada bulan ini. Namun, desas-desus mengatakan hubungan yang terjalin sejak tujuh tahun lalu itu sudah berakhir bertiup kencang apabila Risteena dikaitkan dengan pelakon baharu, Isa Khan.

Ikhwan, 29, yang kini berada di Tanah Suci Makkah ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp memohon diberikan sedikit ruang dan hanya bersedia mengulas mengenai status hubungan mereka sebaik pulang ke tanah air, beberapa hari lagi.

“Buat masa ini, saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai perkara itu kerana ingin memberi tumpuan pada ibadat umrah. Mohon berikan saya sedikit ruang.

“Insya-Allah, apabila semuanya selesai nanti, saya akan hubungi kembali. Doakan segala urusan saya di sini dipermudahkan,” katanya.

IKHWAN dan Risteena pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga pada bulan ini. - Foto IG Risteena Munim

Ikhwan berkenalan dengan Risteena ketika sama-sama membintangi drama Pilihan Rozana pada 2012. Risteena, bagaimanapun hanya membuka mulut mengenai hubungan mereka pada tahun lalu selepas mendapat restu keluarga.

Selain Pilihan Rozana, Ikhwan pernah membintangi drama Maqam, Mulanya Di Sini, Ampunkan Dosaku dan Gemersik Kalbu. Dia bagaimanapun, meninggalkan dunia lakonan, beberapa tahun lalu untuk memberi tumpuan kepada perniagaan mencuci dan menjual aksesori kereta.

Sementara itu, Risteena dalam perkongsian terbaru turut menulis keterangan panjang, bagaikan memberi bayangan dirinya sedang diulit bahagia.

“Hari bahagia adalah impian setiap wanita, tetapi kebahagiaan saya bermula setelah awak datang dan mengisi hari saya. Kisah cinta saya bermula ketika berjumpa dengan seseorang yang terlalu menyintai saya.

“Walaupun pada awal perkenalan, kami tidak banyak bercakap, sekarang tidak ada sehari pun kami tidak berjumpa. Walaupun penggambaran habis lewat, dia akan datang jumpa saya.

“Ketika saya kemalangan, dia juga orang pertama yang sampai walaupun sudah jam 3 pagi. Ketika saya sakit, dia yang sentiasa ada dengan saya. Dia jaga keluarga saya. Dia selalu ambil berat mengenai keluarga saya, itu buatkan saya jatuh hati.

“Terima kasih, Cinta. Awak selalu cuba untuk tidak sakitkan hati saya, tidak boleh tengok saya sedih dan menangis. Jauh lagi perjalanan kita. Jadilah orang yang sama sampai bila-bila. Lagu Cinta Luar Biasa akan sentiasa jadi lagu kita kerana cinta kita luar biasa.

“Ini langkah pertama untuk langkah yang berikutnya. Saya bersedia menjalani hari saya bersama awak. Suka duka bersama awak. Dengan izin Allah, kita mulakan dengan Bismillah,” demikian sebahagian petikan catatan yang dikongsi Risteena menerusi Instagram.

Berita Harian X