Rabu, 13 November 2019 | 8:42pm
Alha mahu memartabatkan profesion jurusolek melalui Malaysia Top Make Up Artist (MUA) yang akan mula bersiaran, Februari tahun depan. Foto NSTP Intan Nur Elliana Zakaria

Alha Alfa cari jurusolek terbaik

KUALA LUMPUR: Dengan niat memartabatkan profesion jurusolek ke peringkat tertinggi, usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa tampil dengan program realiti baharu, Malaysia Top Make Up Artist (MUA).

Melabur sejumlah wang yang banyak untuk program berkenaan, Alha atau nama penuh, Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil, 31, mahu mengubah persepsi konon kerjaya jurusolek janggal dalam kalangan masyarakat.

“Program ini akan mencungkil bakat baharu yang berumur antara 18 sehingga 35 tahun untuk mengorak langkah sebagai jurusolek.

“Kami tidak menyediakan kuota bagi peserta lelaki dan perempuan. Sebaliknya, kita akan memilih lapan orang sahaja melalui sesi uji bakat.

“Program ini diharap mampu memberi saingan yang sihat dalam kalangan jurusolek tempatan, sekali gus meletakkan kepercayaan kepada masyarakat mengenai kerjaya ini.

“Sudah lama menyimpan hasrat untuk menghasilkan program begini, saya bersyukur ia akhirnya berjaya direalisasikan,” katanya pada majlis pelancaran program realiti, Malaysia Top MUA di sini, hari ini.

Alha yang juga penaja utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dua tahun berturut-turut iaitu bagi edisi ke-31 dan ke-32, memberitahu, peserta berminat boleh menghantar video demonstrasi mekap selama seminit menggunakan produk Alha Alfa iaitu set Boarderless kepada penganjur mulai hari ini hingga 4 Disember depan.

Alha Alfa Legacy menawarkan wang tunai kepada juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga. Episod pertama bakal disiarkan 15 Februari tahun depan, selama 30 minit di Astro Ria.

Tambah Alha, tugasan mengikut tema akan diberikan kepada peserta dalam setiap episod.

“Ada ada penyingkiran selesai setiap tugasan. Malah, keseluruhan episod yang dipaparkan bakal diadili juri profesional yang dipilih penganjur.

“Mengikut perancangan, program realiti ini akan dibawa ke Indonesia selepas selesai misi pencarian di Malaysia,” katanya.

Berita Harian X