Khamis, 14 November 2019 | 11:00am
Dottie menafikan rumah tangganya berantakan. Foto NSTP Rohanis Shukri

'Kami masih suami isteri lah...'

KUALA LUMPUR: Pelakon yang terkenal dengan watak komedi, Dottie menepis dakwaan rumah tangga berantakan hanya kerana sering tampil sendirian tanpa suami dalam mana-mana acara hiburan.

Dottie atau nama penuhnya, Nur Syuhada Abdul Razak, berkata dia dan suami, Mohd Haffis Abu Hassan masih bahagia sejak mendirikan rumah tangga setahun lalu.

“Saya masih berkahwin, tetap isteri orang. Biasalah, rumah tangga mana yang tak pernah dilanda masalah. Bagi saya, itu perkara normal yang harus dilalui suami isteri.

“Mungkin perkara ini timbul sebab saya tak dedah atau muat naik foto suami dan aktiviti saya bersama si dia menyebabkan orang membuat tanggapan begitu.

“Lagipun, suami tak berapa selesa wajahnya didedahkan. Malah, dia tak pernah kecil hati apabila saya langsung tak berkongsi wajahnya di akaun media sosial,” katanya kepada BH Online.

Mengakui ramai yang bertanyakan perkara itu, pelakon yang popular dengan drama Titian Cinta dan Si Montel ini menambah, dia tidak pernah kecil hati kerana itu adalah biasa dalam kehidupan selebriti.

Sementara itu, mengulas penampilannya yang semakin seksi apabila kerap mengenakan pakaian menampakkan perut, pelakon berusia 31 tahun ini berkata, dia melaram selepas berjaya menurunkan berat badan sebanyak 13 kilogram.

“Saya sedang meneroka gaya baharu selepas berjaya menurunkan berat badan. Dulu, saya sukar hendak melaram. Tapi saya tak rasa seksi melampau.

“Mungkin sebab tubuh saya masih lagi berisi membuatkan orang nampak seksi,” katanya.

Berita Harian X