Sabtu, 16 November 2019 | 1:26pm
PELAKON, Raja Ilya, kini muncul dengan filem KL Vampires. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
PELAKON, Raja Ilya, kini muncul dengan filem KL Vampires. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Setahun lagi baru timang anak - Raja Ilya

KUALA LUMPUR: Pelakon, Raja Ilya, 34, memberikan tempoh setahun untuknya membuat perancangan memiliki cahaya mata.

Kata bintang KL Vampires itu, ketika ini dia terlebih dahulu ingin menikmati fasa hidup berdua bersama suami, Trent Garret, selepas mendirikan rumah tangga pada 23 Disember tahun lalu.

“Seronok meniti hidup berdua kerana banyak yang kami pelajari, bersama-sama. Alhamdulillah, hampir setahun berkahwin, kami semakin memahami antara satu sama lain.

“Berhubung soal cahaya mata, saya dan suami merancang untuk mempunyai anak dalam tempoh setahun lagi.

“Tambahan pula, ketika ini saya sedang menyusun jadual untuk kembali aktif dalam lakonan,” katanya sambil memberitahunya, ibunya sendiri sudah tidak sabar hendak menimang cucu.

Kata Raja Ilya, hasrat memperlahankan rentak dalam lakonan juga berubah apabila suaminya banyak memberikan sokongan untuk dia terus aktif di arena seni.

“Selepas berkahwin, saya pernah terfikir untuk memperlahankan seketika kerjaya lakonan. Tetapi, dia sentiasa memberikan galakan agar saya teruskan aktiviti seni.

“Suami banyak memberikan dorongan supaya saya terus mengasah kemampuan, termasuk mengembangkan bakat di luar negara,” katanya.

Pelakon yang mencipta nama menerusi filem Appalam itu berkata, Trent juga pernah mengusulkan supaya dia meneroka peluang lakonan di Perth, Australia.

“Dia tahu saya pernah ke Amerika Syarikat untuk mengintai peluang di sana. Jadi, dia mahu saya mencari ruang dengan menyertai agensi lakonan di Perth.

“Setakat ini, saya belum menerima apa-apa maklum balas. Suami seboleh mungkin mahu saya terus mengejar cita-cita dalam lakonan,” katanya.

Bercakap mengenai KL Vampires arahan Daven R, pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohammad ini berkata, penantian selama tiga tahun berbaloi apabila filem aksi fantasi terbabit menemui penonton mulai Khamis lalu.

“Sebelum ini, saya memang agak gementar apabila memikirkan sama ada filem ini akan menemui penonton atau sebaliknya?

“Kini, ia akhirnya ditayangkan di pawagam. Ia sedikit sebanyak mengubati kekecewaan selepas tidak diberikan rezeki membintangi naskhah aksi terbitan Marvel,” katanya.

Berita Harian X