Ahad, 17 November 2019 | 9:02am
AKSI Drama Band ketika bersaing pada separuh akhir pertama Muzik-Muzik 34 di Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. - NSTP/Saddam Yusoff

Drama Band sedia terima Ammar semula

KUALA LUMPUR: Drama Band bersikap terbuka dan bersedia menerima semula pemain gitar kumpulan itu, Ammar Habir, jika pemuzik terbabit ingin kembali bersama sekiranya lagu mereka, Drama, layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 34.

Vokalis kumpulan itu, Aepul Roza, berkata mereka menghormati keputusan Ammar untuk berehat.

Malah, anggota lain juga tidak mempunyai masalah untuk menerima semula Ammar sekiranya dia bersedia untuk kembali.

“Lagu Drama dihasilkan ketika Ammar masih bersama kami. Jadi, seandainya lagu itu mempunyai rezeki untuk ke AJL34 dan jika dia ingin kembali membuat persembahan, kami terbuka menerimanya.

“Ammar mempunyai alasan tersendiri untuk berehat. Dia juga tidak memaklumkan, berapa lama tempoh yang mahu diambilnya untuk tujuan itu. Buat masa ini, kami memilih untuk menggunakan khidmat pemuzik gantian. Namun, ia tidak bermakna kami menggantikan Ammar kerana keputusan di tangannya,” ujar Aepul.

Drama ciptaan Aepul, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib dipilih sebagai lagu terbaik pada minggu pertama separuh akhir Muzik-Muzik (SFMM) 34 yang berlangsung di Sri Pentas, Shah Alam, Jumaat lalu.

Kemenangan berkenaan bagaimanapun tidak memberikan jaminan ia secara automatik layak ke AJL34.


AMMAR Habir (dua dari kanan) ketika menghadiri sebuah acara hiburan bersama teman sekumpulan, April lalu. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Selain Aepul, Drama Band turut dianggotai oleh Adib (gitar), Daus (bes) dan Faeez (dram).

Pada minggu pertama SFMM34, lagu lain yang turut dipertandingkan ialah Paku dendangan Ara Johari, Hatiku Milikmu (Siti Nordiana), Aku Yang Bersalah (Usop), 123 (Khai Bahar), Kepuraanmu (Luqman Faiz) dan Mencuba (Sufian Suhaimi).

Turut bersaing ialah Terlalu Memuja (Wany Hasrita), Bidadari (Ismail Izzani), Satukan Rasa (Siti Nordiana & Khai Bahar) dan Tiada Dirimu.

“Jujurnya, kami terkejut apabila Drama dipilih sebagai lagu terbaik kerana masing-masing memang tidak menyimpan harapan tinggi. Selesai sahaja giliran Drama Band, kami berseronok menyaksikan persembahan rakan seperjuangan lain.

“Alhamdulillah... Rezeki berpihak kepada kami dan pastinya juri mempunyai sebab tersendiri untuk memilih Drama.

“Biarpun pada peringkat awal dahulu lagu ini dikecam, ramai juga yang memberikan komen mereka menyukai lagu itu. Tidak kurang yang menyifatkan, mesej lagu kami menarik. Cuma, mereka tidak selesa dengan konsep video muziknya. Tidak mengapa, kami terbuka dengan kritikan,” kata Aepul.

Berita Harian X