Isnin, 18 November 2019 | 10:05pm
Peminat kecoh apabila Waris mahu menukar nama komersialnya biarpun sudah lapan tahun digunakan. Foto NSTP Aziah Azmee

Kecoh Waris mahu tukar nama

KUALA LUMPUR: Hasrat penyanyi rap yang popular dengan lagu Rembau Most Wanted, Waris menukar nama ditentang peminat.

Isu itu timbul apabila Waris meluahkan kekecewaan terhadap segelintir peminat yang didakwa tidak menghormatinya apabila memberi gelaran ‘Ke Jelobak Ke Jelobu’ kepadanya.

Rapper itu tidak mahu lagi menggunakan nama Waris dan meminta peminat mencadangkan nama baharu yang sesuai.

“Saya sedar keputusan ini terlalu drastik apatah lagi nama Waris sudah menjadi seperti sebuah jenama. Saya dikenali dalam industri ini kerana nama Waris.

“Tapi selepas lapan tahun menggunakan nama komersial itu, saya rasa ia terlalu ‘besar’ untuk dibawa,” katanya kepada BH Online.

Peminat kecoh apabila Waris atau nama sebenarnya, Muzammil Alias, memuat naik sebuah video berdurasi 1 minit 10 saat, mengenai hasratnya untuk menukar nama.

Dalam rakaman video itu, Waris memberitahu:

“Aku nak ambil kesempatan ini... Aku nak minta maaf dekat semua, kalau aku ada buat salah dan silap. Pernah tak bagi ambil gambar ke? Atau pun aku pernah cakap benda buruk atau menyakitkan hati korang? Aku nak minta maaf.

“Aku rasa dah tak tahan lagi, bila jumpa orang dekat luar, orang tak reti nak respek (hormat). Lepas tu, ada tak panggil nama Waris, tapi panggil ‘Ke Jelobak Ke Jelebu’. Aku rasa aku dah tak tahan lagi... Aku rasa aku nak berhenti,” katanya yang turut meminta peminat mencadangkan nama baharu kepadanya.

Waris turut memohon maaf kepada peminat jika bahasa yang digunakan dalam rakaman berkenaan kedengaran kasar.

Tambah Waris, Al Waarits adalah salah satu nama Allah, namun sebagai penyanyi, nama berkenaan tidak sesuai digunakan.

Berita Harian X