Selasa, 19 November 2019 | 9:00am
AG merancang projek besar yang akan diumumkan pada tahun baharu 2020. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

AG rai 2020 dengan projek besar

KUALA LUMPUR: Bakal meraikan ulang tahun ke-20 dalam industri radio, tahun depan, ada projek besar yang bakal diumumkan penyampai radio Kool FM, AG, pada 2020.

AG atau nama sebenarnya, Muhammad Azmie Selamat, 39, bagaimanapun enggan mendedahkan dengan terperinci projek yang sedang diusahakannya itu.

“Apa yang akan saya hasilkan itu bukanlah berorientasikan dunia radio semata-mata, malah mencakupi bidang pengacaraan.

“Pendek kata, projek ini membabitkan soal kerjaya... Saya harap usaha untuk melancarkan projek ini dipermudahkan,” katanya kepada BH Online.

Mahu mengabadikan karier dua dekad bersama projek baharu, AG yakin projek yang diusahakannya itu memberi manfaat kepada semua pihak.

“Saya tidak mahu terburu-buru berkongsi butiran projek yang sedang diusahakan ini,” katanya.

Mengulas mengenai dunia radio, AG berkata, ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

“Saya mula melangkah ke dunia radio ketika berumur 20 tahun. Tahun depan, saya bakal menginjak usia 40 tahun. Banyak kenangan susah senang saya lalui,” katanya.

Dalam perkembangan lain, AG yang berganding dengan Muaz dan Haiza Hanafi dalam slot pagi di Kool FM, bersyukur masih diberi kepercayaan pihak pengurusan.

“Sudah 14 tahu saya bekerja dengan Media Prima Berhad. Bermula dengan Hot FM, sudah tiga tahun saya bersama Kool FM... Semuanya kenangan manis.

“Saya jadi matang dengan segmen radio yang disertai. Hot FM terarah kepada generasi muda, Kool FM pula lebih matang.

“Dengan Kool FM, saya beroleh lebih banyak ilmu. Topik yang dilontarkan untuk pendengar ada kalanya lebih berat. Jadi, saya perlu sesuaikan diri,” katanya.

Ditanya sampai bila dia akan bersama radio, AG tidak dapat memberi jawapan pasti.

“Sampai bila saya bertahan, saya tidak pasti. Selagi didorong minat dan diri ini diperlukan, saya akan terus melakukannya,” katanya.

Berita Harian X