Khamis, 21 November 2019 | 6:40pm
PELAKON, Janna Nick, ketika dirawat di sebuah hospital, semalam, akibat demam panas. - Foto Instagram Janna Nick

Janna keluar wad demi Siti Di Alam Fantasi

KUALA LUMPUR: Demi komitmen terhadap teater Siti Di Alam Fantasi, malam ini, Janna Nick yang dimasukkan ke hospital sejak semalam disebabkan serangan demam panas meminta pelepasan keluar wad bagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai pelakon.

Pengurusnya, Afeeq Abdul Wahab, berkata doktor memberikan pelepasan bersyarat dengan meminta pelakon terbabit kembali ke wad selesai pementasan kerana keadaan kesihatannya masih perlu dipantau.

"Saya dimaklumkan Janna belum sembuh sepenuhnya, tetapi dia kuat semangat dan mahu bersama-sama rakan lain, yang sudah lebih dua minggu berlatih, tampil di Istana Budaya pada pementasan pertama, malam ini.

"Setakat ini, doktor memberikan pelepasan di atas tanggungan sendiri selepas dia berkeras menegaskan mampu melaksanakan tanggungjawabnya untuk pementasan terbabit.

"Insya-Allah, andai tiada aral, seperti dijanjikan Janna akan menggalas watak diserahkan kepadanya dalam teater Siti Di Alam Fantasi, namun sebaik sahaja selesai, dia perlu bergegas kembali ke hospital," katanya.

Terdahulu, Janna yang menjadi tunjang utama bagi pementasan berkenaan dimasukkan ke hospital, sejak semalam, akibat jangkitan bakteria selepas mengalami demam panas selama empat hari.

Teater yang berkisar pada dunia khayalan seorang gadis cantik tetapi sarat sifat sombong itu dijadualkan berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya bermula malam ini hingga 26 November.

Selain Janna, teater berkenaan turut dijayakan Johan Raja Lawak, Abam Bocey, Issey Fazlisham, Fizo Omar, Datin Paduka Umie Aida, Datuk Ziela Jalil, Erma Fatima, Ozlynn Waty dan Isma Halil.

Mengenai pembabitan Janna dalam pementasan pada malam seterusnya, kata Afeeq, pihaknya hanya mendoakan yang terbaik dan berharap supaya kesihatan Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 itu kembali pulih seperti biasa.

"Besar harapan kami supaya dia diberikan kesembuhan dengan kadar segera. Kita pun tidak mahu perkara seumpama ini berlaku, tetapi serangan virus mengakibatkan demamnya berpanjangan.

"Sebelum ini pun Janna ligat bekerja, termasuk menyempurnakan penggambaran, menyertai perlumbaan kereta dan masih sempat menjalani latihan pementasan. Semangatnya tetap kuat walaupun kurang sihat," katanya.

Berita Harian X