Jumaat, 22 November 2019 | 9:02am
PENYANYI, Fauziah Latiff, bahagia dengan kehidupan solonya. - NSTP/Azhar Ramli

Jee belum tutup pintu hati

KUALA LUMPUR: Walaupun selesa dengan kehidupan solo, penyanyi dan pelakon, Fauziah Latiff, tidak pernah menutup pintu hatinya untuk bertemu jodoh.

Fauziah atau lebih mesra disapa Jee, 48, berkata sebagai manusia, dia pasti menginginkan teman hidup, namun apa yang dimiliki ketika ini sudah mencukupi buat dirinya.

"Saya selesa dengan keadaan sekarang. Tetapi, saya tidak berani untuk mengatakan sudah menutup pintu hati untuk berpasangan.

"Semua itu kuasa Allah. Hati kita juga boleh berubah kerana Allah. Jika ada jodoh, ia akan datang juga. Alhamdulillah, kehidupan saya hari ini bahagia dengan keluarga," katanya.

Penyanyi lagu Enggan itu pernah berkahwin dengan Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail pada 1992 dan bercerai pada 1995.

Kemudian, Fauziah mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan ahli perniagaan, Johan Indot, di London, tetapi bercerai pada 2007.

Hasil perkahwinan keduanya, Fauziah dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Jeffri Joaquim, 20, dan Jeremy Jay, 18.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terkini dirinya, Fauziah baru sahaja melancarkan studio miliknya, Port Seni, yang beroperasi di Ara Damansara, di sini.

BINTANG utama Mahathir The Journey, Azhar Amir dan Fauziah Latiff, ketika diperkenalkan kepada wakil media pada pelancaran filem itu di Petaling Jaya. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Menurut Fauziah, studio terbabit memfokuskan pada aktiviti kecergasan dan seni muzik.

"Saya kini sibuk menguruskan Port Seni. Di sana, saya menganjurkan kelas vokal, muzik dan tarian buat sesiapa yang meminati seni.

"Selain itu, aktiviti kecergasan juga diadakan di studio terbabit. Alang-alang saya mengamalkan gaya hidup sihat, ia menjadi lebih seronok apabila amalan itu dapat dilakukan bersama-sama," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fauziah bakal menjalani penggambaran filem, Mahathir: The Journey, bermula 15 Disember depan dengan membawakan watak isteri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, iaitu Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Berita Harian X