Jumaat, 22 November 2019 | 11:26pm
PENYANYI dan pencipta lagu Sumpah, Naim Daniel. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Sumpah lagu terbaik minggu kedua SFMM34

SHAH ALAM: Sumpah nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Naim Daniel dipilih sebagai lagu terbaik pada separuh akhir kedua Muzik Muzik 34 (SFMM34) yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Lagu berentak balada itu berjaya mengetepikan 10 lagu lain yang turut bertanding, minggu ini, iaitu Anta Permana ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rampas (Hang Nadim, Laq / Bunga Cantik / Akim & The Majistret), Pujaan Hati (Ikhwan Fatanna, Ayden Ali / Arisz Ab Rahman, Ayden Ali / Adira), Ku Bersuara (Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham / Ernie Zakri) dan Kisah Cinta Kita (Ikhwan Fatanna, Ayden Ali / Datuk A Aida / Hafiz Suip).

Turut merebut peluang untuk ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 34 ialah Teguh Setia (Ibnu & Gouffran / Muna Shahirah), Ragaman (Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo / Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan / Faizal Tahir), Pedih (Room None / Iman Imran / Sarah Suhairi), Bekas Kekasih (Mel Ramlan, Aizat Amdan / Tomok) dan Lembah Kesepian (Haqiem Rusli / Haqiem Rusli, Ibnu & Gouffran / Haqiem Rusli).


NAIM Daniel ketika menyanyikan lagu Sumpah pada minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Sementara itu, menepati ramalan, lagu Anta Permana dipersembahkan oleh penyanyi, Bob Yusof, pada pertandingan terbabit, manakala tempat Faizal digantikan oleh penyanyi mirip Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Fairuz Misran bagi lagu Ragaman.

Pada separuh akhir pertama, minggu lalu, Drama oleh Drama Band dipilih sebagai lagu terbaik.

Setiap minggu, sebuah lagu akan dipilih sebagai karya terbaik, namun ia tidak memberi jaminan bakal mara ke AJL34 secara automatik.

Semua lagu bertanding dinilai oleh tujuh juri profesional yang diketuai oleh komposer terkenal, Azmeer.

Minggu ini, penyanyi terkenal, Datuk Hattan, diundang memeriahkan pentas pertandingan dengan menyampaikan dua lagu, Rendang Tak Berbuah dan Kepadamu Kekasih.

Peringkat separuh akhir Muzik Muzik 34 dihoskan oleh Sherry Al Hadad dan Haziq Hussni.

Peminat juga boleh menikmati kemeriahan SFMM34 di www.tonton.com.my.

Berita Harian X