Sabtu, 23 November 2019 | 4:09pm
PERSEMBAHAN Haqiem Rusli pada minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 di Plaza Alam Sentral. - NSTP/Mahzir MaT Isa
PERSEMBAHAN Haqiem Rusli pada minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 di Plaza Alam Sentral. - NSTP/Mahzir MaT Isa

Haqiem tunai umrah bersama keluarga minggu depan

SHAH ALAM: Bakal berangkat ke Makkah bagi mengerjakan umrah pada 28 November ini, penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli, bersyukur diberikan peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada usia muda.

Penyanyi Tergantung Sepi itu memaklumkan, dia tidak berseorangan ke sana, sebaliknya akan menunaikan ibadat berkenaan bersama keluarga besarnya.

Lebih menggembirakan Haqiem, 21, apabila dia dapat membalas jasa kedua-dua ibu bapanya.

“Saya sebenarnya menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah, sejak tiga tahun lalu. Justeru, saya amat bersyukur apabila impian itu akhirnya tercapai juga. Apatah lagi, saya bakal menunaikan umrah bersama keluarga dan sanak-saudara.

“Saya amat bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada usia 21 tahun.

“Alhamdulillah... Semoga semua urusan dipermudahkan sepanjang kami berada di sana nanti,” katanya kepada BH Online.

Haqiem berkongsi berita berkenaan ketika ditemui selepas menjayakan Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SFMM34), di sini.

Pada pertandingan itu, dia mempertaruhkan lagu ciptaannya bersama Gouffran dan Ibnu, Lembah Kesepian.

Sementara itu, ketika mengulas kejayaannya memenangi trofi Komposer Muda Berpotensi, Anugerah Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) 2019, baru-baru ini, Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli berharap dapat mengadakan program pencarian bakat muda.

HAQIEM (kanan) ketika menerima Anugerah Komposer Muda Berpotensi yang disampaikan pencipta lagu, Eddie Hamid, pada Anugerah MACP 2019, di Petaling Jaya. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
HAQIEM (kanan) ketika menerima Anugerah Komposer Muda Berpotensi yang disampaikan pencipta lagu, Eddie Hamid, pada Anugerah MACP 2019, di Petaling Jaya. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

“Saya tahu, ramai golongan sebaya dengan saya meminati bidang muzik dan mahu menjadikannya sebagai kerjaya. Justeru, diharapkan program yang saya ilhamkan ini bakal membantu mereka mencapai cita-cita masing-masing,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan konon dia enggan mencipta lagu untuk penyanyi wanita, Haqiem berkata, ia tanggapan tidak benar.

“Mengenai ciptaan lagu, saya tidak hanya menghasilkan karya buat artis lelaki. Sebaliknya, saya turut berkarya untuk penyanyi wanita, namun ia lebih ke arah ketuhanan,” katanya.

Berita Harian X