Sabtu, 23 November 2019 | 6:08pm
PENYANYI, Adira Suhaimi, ketika menjayakan minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 di Plaza Alam Sentral. - NSTP/Mahzir Mat Isa
PENYANYI, Adira Suhaimi, ketika menjayakan minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 di Plaza Alam Sentral. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Anak punca Adira tak jadi cerai

SHAH ALAM: Demi masa depan anak-anak, penyanyi, Adira, menarik balik hasrat untuk bercerai dengan suami, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red.

Menurut Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 28, dia kini dalam proses menarik balik permohonan cerai selepas memfailkannya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat pada 9 Oktober lalu.

“Ya, kami baru sahaja berbaik semula. Anak-anak menjadi sebab utama saya memberikan peluang kedua kepadanya. Saya sudah berfikir panjang dan saya tak mahu menjadi ibu yang terlalu mementingkan diri sendiri.

“Seperti pernah saya katakan sebelum ini, apa sahaja boleh berlaku. Jadi, doakan yang baik-baik untuk saya, suami dan anak-anak,” kata artis berasal dari Ranau, Sabah ini kepada BH Online.

Ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak, konon keputusan berkenaan seperti dilakukan seorang yang berjiwa rapuh dan tidak tetap pendirian, penyanyi ini berkata, sebagai manusia kesabarannya tetap ada batasan.

“Saya tidak meletakkan sebarang syarat kepadanya (suami). Selagi saya boleh bersabar, saya akan cuba berbuat demikian. Bagaimanapun, sebagai manusia, kesabaran saya ada hadnya. Jangan langgar batas itu,” ujarnya.

Adira berkata demikian ketika ditemui selepas menjayakan persembahan minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (SFMM34) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini.

Pada pertandingan berkenaan, dia menyampaikan Pujaan Hati hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali, manakala lirik pula ditulis Ikhwan bersama Arisz Ab Rahman.

Spekulasi mengenai perpisahan pasangan terbabit timbul apabila ruangan gosip sebuah portal hiburan menyiarkan cerita artis wanita diceraikan ketika sedang hamil anak ketiga, Ogos lalu.

ADIRA bersama anak bongsunya, Anggun. - Foto Instagram Adira
ADIRA bersama anak bongsunya, Anggun. - Foto Instagram Adira

Adnan yang juga seorang ahli perniagaan menikahi Adira di Songkhla, Thailand, sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Anggrek, 2, Asan, setahun, dan Anggun yang dilahirkan 8 Ogos lalu.

Berita Harian X