Ahad, 24 November 2019 | 11:11am
PENYANYI, Bob Yusof, menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza mempersembahkan lagu Anta Permana pada minggu kedua separuh akhir Muzik-Muzik 34 di Shah Alam, Jumaat lalu. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Pesanan Siti dorong Bob beri persembahan terbaik

SHAH ALAM: Pesanan Datuk Seri Siti Nurhaliza agar dia menyampaikan lagu Anta Permana mengikut cara dan gayanya tersendiri menjadi pembakar semangat buat Bob Yusof untuk memberikan persembahan yang baik pada minggu kedua separuh akhir Muzik-Muzik 34.

Pada pertandingan yang diadakan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam itu, Bob menggantikan tempat Siti menyanyikan karya ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

Mengakui berdepan tekanan apabila diberi tanggungjawab cukup besar, Bob atau nama lengkapnya Yusrizan Usop, 38, bagaimanapun melepasi ujian itu apabila rata-rata memuji persembahannya, termasuk penyanyi asalnya sendiri.

“Seminggu sebelum persembahan, saya jadi tak tentu arah dan rasa gementar. Rasa nak pengsan pun ada kerana saya bimbang akan melakukan kesilapan dalam nyanyian.

“Ramai yang meletakkan harapan sangat tinggi terhadap lagu ini dan keadaan itu sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada saya.

“Bagaimanapun, Siti ada menghantar pesanan sebelum saya naik ke pentas. Pesannya, dia mahu saya membawakan lagu itu dengan cara tersendiri, memperbanyakkan selawat dan sentiasa senyum. Ia sedikit sebanyak memberikan kelegaan buat saya untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya kepada BH Online.

DATUK Seri Siti Nurhaliza ketika menjayakan persembahan pada Konsert Karya Agung Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) bersama Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Walaupun sekadar menjadi penyanyi gantian, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kedua ini tetap berusaha menyampaikan Anta Permana sebaik mungkin, seolah-olah lagu berkenaan adalah miliknya.

“Inilah kali kedua saya menjadi penyanyi ganti untuk program Muzik-Muzik. Sebelum ini, saya pernah menyanyikan lagu Kasih Tercipta, menggantikan tempat Faizal Tahir pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 22. Tidak dinafikan, saya juga sedar bakat diri ini seperti hanya untuk menjadi pengganti.

“Namun, saya tidak kisah sangat. Sekurang-kurangnya, orang nampak bakat saya dan saya pula tetap memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan dijayakan,” ujarnya.

Ditanya apakah dia bersedia untuk kembali menggalas tanggungjawab berkenaan seandainya lagu popular itu melayakkan diri ke AJL34, penyanyi bervokal mantap ini bersikap terbuka dalam hal terbabit.

“Diberikan kepercayaan untuk menyanyikan lagu ini pada peringkat separuh akhir sudah membuatkan saya begitu bersyukur. Jadi, saya tidak tahu bagaimana hendak mengulas perkara itu. Terpulanglah kepada mereka (Hael, Ezra dan Siti),” kata Bob.

Terdahulu, BH Online pernah melaporkan, Bob disebut-sebut bakal menggantikan tempat Siti pada program itu memandangkan penyanyi tersohor berkenaan kekal dengan keputusannya untuk tidak bertanding dalam AJL.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X