Ahad, 24 November 2019 | 2:27pm
RUHAINIES mengakui Risteena sangat berahsia dalam hal berkaitan urusan peribadi, termasuk dengan ahli keluarga sendiri. - NSTP/Mustafa Kamal

Saya cuma nak kakak bahagia - Ruhainies

KUALA LUMPUR: “Kakak sangat perahsia dalam hal berkaitan urusan peribadi. Bukan hanya dengan orang luar, tetapi kami sebagai ahli keluarga juga tidak banyak tahu mengenai jejaka yang bertakhta di hatinya”.

Demikian ulas pelakon, Ruhainies ketika ditanya mengenai kakaknya, Risteen Munim yang masih merahsiakan identiti kekasih baharunya selepas hubungan cinta selama tujuh tahun dengan pelakon dan ahli perniagaan, Ikhwan Khairuddin, berakhir.

Meskipun ramai mengandaikan jejaka itu ialah pelakon, Isa Khan, Risteena memilih untuk mengunci mulut dan hanya akan berkongsi mengenai kisah percintaannya apabila tiba masanya kelak.

“Risteena lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Siapa juga jejaka yang menjadi pilihannya, saya tetap akan mendoakan kebahagiaan Risteena.

“Sebagai adik, saya menyokong apa sahaja keputusannya kerana mahu lihat dia gembira dengan insan yang disayangi. Dia berhak mencari kebahagiaannya,” kata Ruhainies.

Ditemui pada majlis perasmian butik kecantikan dan hiasan dalaman, My Beaute Village di Puchong, semalam, Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 27, berkata keluarganya kini memberi lampu hijau untuk dia melunaskan perancangan masa depannya.

Ruhainies berkata, sebelum ini, ibunya mahu dia terlebih dahulu memberi laluan kepada kakaknya untuk mendirikan rumah tangga, namun kini berubah fikiran dan tidak menghalang jika dia sudah bersedia menjadi isteri.

“Memang kalau boleh saya tidak mahu langkah bendul, malah mama juga pernah meletakkan syarat supaya menanti segala urusan peribadi kakak selesai. Tetapi, kini mama sudah memberi lampu hijau jika ditakdirkan jodoh saya datang dahulu.

“Cuma, saya dan kekasih tidak mahu terburu-buru dalam soal perkahwinan. Biarlah kami kejar cita-cita dahulu sebelum memikirkan perancangan berumah tangga,” kata Ruhainies yang sudah tahun menjalin cinta dengan ahli perniagaan yang dikenali sebagai Mr E.

Ruhainies ketika ini sibuk dengan penggambaran filem Seandainya Kau Ada terbitan Zeel Production, bergandingan dengan Fendy Bakry. Ia turut dibintangi Mira Filzah dan Aidit Noh.

Berita Harian X