Ahad, 24 November 2019 | 4:29pm
HAFIZ bakal menimang anak lelaki kedua, awal tahun depan. - NSTP/Mahzir Mat Isa
HAFIZ bakal menimang anak lelaki kedua, awal tahun depan. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Hafiz teringin anak perempuan

KUALA LUMPUR: Biarpun berharap dikurniakan cahaya mata perempuan, penyanyi bersuara lantang, Hafiz Suip, yang bakal menyambut kelahiran anak lelaki kedua, awal tahun depan, bersyukur dengan rezeki yang diberikan Allah SWT.

Hafiz berkata, dia sentiasa berdoa kandungan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah yang kini mencecah enam bulan dalam keadaan sihat dan bayi mereka yang bakal dilahirkan nanti sempurna.

“Selepas dikurniakan anak lelaki, saya memang berharap diberikan rezeki menimang cahaya mata perempuan. Namun, selepas menjalani ujian imbasan kehamilan, baru-baru ini, doktor mengesahkan kami bakal menimang seorang lagi ‘hero’.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan Allah SWT. Apa yang penting, kesihatan isteri dan bayi dalam kandungan sentiasa baik, serta urusan ketika bersalin nanti dipermudahkan,” katanya.

September lalu, juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu berkongsi berita gembira isterinya hamil anak kedua hasil perkahwinan mereka menerusi Instagram.

Penyanyi yang sedang popular dengan single terbaru, Lagu Cinta Kita itu berkata, dia juga mengambil keputusan berehat seketika daripada aktiviti memancing selepas mendapat tahu isterinya berbadan dua.

“Saya terpaksa ‘menggantung’ joran selama beberapa bulan kerana bimbang berjauhan dengan isteri yang memerlukan perhatian.

“Saya akui, memancing memberikan kepuasan, malah apabila berjauhan dengan keluarga, ia membangkitkan perasaan rindu yang membuat hubungan kami semakin erat.

“Mungkin kedengaran klise, tetapi hobi ini banyak mengajar saya supaya menjadi lebih sabar. Selain itu, saya juga dapat meneroka pelbagai tempat menarik dalam negara,” katanya.

Hafiz dan Effy diijabkabulkan pada 14 Mei 2016. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Riyadh Zafri yang bakal menyambut ulang tahun kedua pada 31 Disember ini.

Berita Harian X