Selasa, 26 November 2019 | 5:17pm
PELAKON dan model, Haneesya Hanee. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Haneesya rakam lagu duet

KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Haneesya Hanee, 19, mencabar kemampuan di arena seni suara apabila merakamkan lagu bersama sebuah kumpulan.

Lagu duet terbabit dijangka dilancarkan dalam masa terdekat.

Katanya, peluang dihulurkan kumpulan yang masih dirahsiakan itu dianggap sebagai ruang untuknya menggilap kebolehan dalam pelbagai cabang seni.

"Buat masa ini, saya belum dapat kongsi nama kumpulan yang terbabit dalam projek single ini. Saya mahu ia menjadi kejutan pada hari pelancarannya nanti.

"Saya merakamkan suara untuk menimba pengalaman sebab pada awalnya, saya memang tidak yakin boleh menyanyi. Selama ini pun, saya cuma menyanyi dengan adik secara suka-suka, seperti dikongsi di Instagram.

"Tetapi mereka memujuk dan memberikan semangat supaya saya mencuba dahulu. Mereka mahu saya meraih pengalaman baharu dan kalau saya yakin untuk bergelar penyanyi, mereka mendorong saya untuk meneruskannya. Lagipun, kata mereka, kolaborasi ini ingin direalisasikan kerana mereka mendapat inspirasi daripada kisah jatuh bangun saya dalam industri seni," katanya.

Haneesya yang diangkat sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu turut memaklumkan, kerja rakaman dan penggambaran video muzik lagu terbabit sudah pun disempurnakan.

Malah, dia dan kumpulan itu kini hanya membilang hari menunggu tarikh pelancaran yang dijangkakan sama ada awal Disember atau permulaan 2020.

Sementara itu, Haneesya kini sibuk membuat persediaan sebagai peserta sebuah pertandingan realiti pencarian model profesional.

Dia bersama dua lagi wakil Malaysia bakal bersaing dengan peserta dari Indonesia, Thailand, Myanmar, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan India.

Berita Harian X