Rabu, 27 November 2019 | 5:12pm
LUFYA ketika meraikan sambutan ulang tahun kedua anaknya, Sabtu lalu. - Foto Salhani Ibrahim

Anak sumber kekuatan Lufya

KUALA LUMPUR: Biarpun sedang berdepan kemelut rumah tangga, Lufya berjanji untuk tidak sekali-kali mengabaikan masa depan anaknya.

Lufya atau nama lengkapnya Lutfyah Sheikh Omar, 34, berkata, dia akan berjuang memberikan kebahagiaan buat anaknya, Lanaa Haura, 2, meskipun terpaksa berkorban jiwa dan raga.

“Saya akan buat apa sahaja untuk membahagiakan Haura. Banyak perkara yang sudah saya rancang dan berharap, semua urusan itu dipermudahkan Allah SWT.

“Tiada lain yang saya pinta kecuali dia membesar menjadi insan yang mempunyai pekerti yang mulia dan seimbang pendidikan dunia serta akhirat,” katanya.

Ditemui pada majlis sambutan hari ulang tahun kelahiran anaknya yang kedua, Sabtu lalu, Lufya juga berdoa, kemelut rumah tangganya dengan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum akan segera berakhir.

Baginya, dia cuma mahu memandang ke depan dan berharap, anak mereka tidak menjadi korban dalam menangani kemelut yang melanda.

“Saya turut menjemput suami datang untuk meraikan Haura, tetapi dia tidak dapat hadir, mungkin sibuk kerana terikat dengan urusan kerja.

“Saya sudah berusaha dan apabila difikirkan balik, apa juga yang terjadi antara kami, saya tidak akan sekali-kali meminggirkan dia sebagai bapa.

“Saya percaya, apabila kita mulakan dengan kebaikan, insya-Allah akan ada kebaikannya nanti. Saya buat semua ini ikhlas dan tidak pernah terfikir menggunakan anak untuk meraih simpati ramai,” katanya.

Bintang Mahar Tanpa Cinta itu mendirikan rumah tangga dengan Hafiz pada 26 November 2016. Pergolakan rumah tanggap pasangan itu mula ‘dihidu’ media pada Oktober, tahun lalu.

Sehubungan itu, Lufya memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Dalam perkembangan terbaru, Hakim Syarie, Shukran Yusof menetapkan tarikh sebutan semula pada 10 Disember ini bagi kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kemelut rumah tangga mereka.

Berita Harian X