Khamis, 28 November 2019 | 3:00pm
Salih menganggap pelawak ‘otai’ lebih layak menjadi juri program pencarian artis komedi kerana mereka lebih arif mengenai pentas lawak. Foto NSTP Salhani Ibrahim
Salih menganggap pelawak ‘otai’ lebih layak menjadi juri program pencarian artis komedi kerana mereka lebih arif mengenai pentas lawak. Foto NSTP Salhani Ibrahim

Bagilah pelawak 'otai' jadi juri - Salih Yaacob

KUALA LUMPUR: Bintang serba boleh, Salih Yaacob, menyarankan penerbit program realiti komedi memilih pelawak ‘otai’ sebagai juri kerana mereka paling layak menghakimi peserta.

Ralat melihat kadang-kala juri bukan dalam kalangan pelawak senior, Salih yakin artis komedi lama lebih arif memberi tunjuk ajar selain menawarkan peluang pekerjaan kepada bintang lama.

“Bagi saya yang sudah lama berkecimpung dalam dunia komedi, pelawak senior lebih layak menjadi juri program lawak.

“Tidaklah bertanding menjadi peserta seperti dalam Maharaja Lawak Mega (MLM), sebaliknya jadi juri. Bukan apa, saya sudah berusia, tenaga tidak seperti dulu.

“Sebagai pelawak veteran, saya fikir lebih baik tugas juri diberi kepada pelawak ‘otai’. Selain dapat memberikan petua dan pendapat, mereka lebih tahu pentas lawak,” katanya kepada BH Online.

Salih yang mula aktif sejak era 1980-an, pernah bertugas sebagai penyampai radio Sinar FM selama 13 tahun sebelum membuat keputusan mengundurkan diri.

Salih yang mesra disapa Abang SY memberitahu, pada usia 58 tahun, dia lebih banyak memberi tumpuan kepada kehidupan peribadi dan berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

Dalam perkembangan terbaru, Salih bakal menjayakan program Stand Up Comedy Otai yang akan disiarkan Astro Warna iaitu saluran 132 dan Warna HD (saluran 124).

“Program ini membuka peluang kepada anak seni untuk kembali beraksi demi kelangsungan hidup dan mengukuhkan taraf kehidupan mereka.

“Langkah ini juga menyahut inisiatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk menggalakkan pembabitan penggiat seni veteran dalam industri hiburan,” katanya.

Selain Salih, program 10 episod ini menampilkan pelawak AR Badul, Salih Yaacob, Fauziah Nawi, Angeline Tan, Azlee Senario, Hamdan Ramli, Saiful Apek, Imuda, Ebby Yus, Jaafar Onn, Wan Maimunah dan ramai lagi.

Berita Harian X