Jumaat, 29 November 2019 | 11:00am
JOEY bersyukur hubungannya dengan anak semakin rapat sejak dia terbabit dalam dunia komedi. - Foto Salhani Ibrahim
JOEY bersyukur hubungannya dengan anak semakin rapat sejak dia terbabit dalam dunia komedi. - Foto Salhani Ibrahim

Berlawak perbaiki hubungan Joey, anak

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Joey Daud, 46, mengakui pembabitan dalam dunia komedi banyak mengubah sikapnya, sekali gus memperbaiki hubungannya dengan keluarga.

Joey berkata, sebagai ketua keluarga, dia agak tegas dan serius dalam mendidik anak, namun pendekatannya perlahan-lahan berubah hingga mereka tidak lagi kekok bergurau senda dengannya.

“Anak begitu gembira melihat perubahan saya. Dahulu, saya agak garang kerana mahu mereka disiplin dan mendengar kata.

“Rupa-rupanya, cara saya itu silap. Ketegasan juga perlu ada batas. Berlakon drama komedi secara tidak langsung, menyerlahkan sisi lain dalam diri.

“Sedikit demi sedikit, saya berubah dan semakin terbuka, malah sudah boleh bergurau senda. Paling membahagiakan apabila hubungan saya dan anak juga semakin rapat.

“Kerjaya seni bukan hanya dapat menghiburkan penonton, sebaliknya turut mewarnai kehidupan penggiatnya. Contoh terdekat ialah kehidupan saya,” katanya selepas pelancaran Stand Up Comedy Otai.

Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud dipilih sebagai pengacara program komedi membabitkan 18 pelawak, termasuk AR Badul, Ebby Yus, Imuda, Sheila Mambo, Azlee Senario dan Jalil Hamid.

Menerusi perkahwinan terdahulu, suami kepada bekas anggota kumpulan Elite, Watie Sadali itu, dikurniakan empat anak berusia sembilan hingga 25 tahun, selain dua cucu.

Menyentuh mengenai pemilihannya sebagai hos program televisyen buat julung kali, Joey bersyukur, bakatnya dalam bidang pengacaraan diakui selepas lebih 20 tahun dalam industri.

“Sebenarnya, saya banyak mengacarakan majlis tertutup sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Peluang itu mengasah bakat saya sebagai pengacara.

“Apabila menerima tawaran ini, saya banyak merujuk kepada hos yang lebih berpengalaman seperti Datuk AC Mizal untuk memberi tunjuk ajar.

“Cabang seni baharu ini menyuntik semangat saya bekerja lebih keras supaya ada legasi yang saya tinggalkan untuk keluarga dan industri,” katanya yang masih menyimpan impian menghasilkan single baharu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X