Sabtu, 30 November 2019 | 4:00pm
PENYANYI, Ruhil Amani, ketika menjayakan Konsert Kenangan Lalu KLFM di Pasar Seni, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
PENYANYI, Ruhil Amani, ketika menjayakan Konsert Kenangan Lalu KLFM di Pasar Seni, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Ruhil kembali semarakkan dunia nyanyian

KUALA LUMPUR: Lima belas tahun tidak aktif di pentas seni, penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Kawan, Ruhil Amani Hussain, 44, kini bersedia untuk kembali menyemarakkan dunia muzik.

Malah, isteri kepada pemuzik, Jamie Wilson Abdullah, 48, itu berhajat memperkenalkan album baharu kepada peminat yang sekian lama merindui nyanyiannya.

Ruhil berkata, dia sudah lama menyiapkan album yang memuatkan 12 lagu itu, secara diam-diam.

"Saya sebenarnya merakamkan album terbabit sebelum berkahwin lagi, tetapi ia siap sepenuhnya pada 2005. Bagaimanapun, pelancarannya terpaksa ditangguhkan kerana saya hamil. Biarpun album ini disimpan sejak 14 tahun lalu, saya tetap berhasrat mahu melancarkannya, tahun depan.

"Kalau didengar lagu yang dihasilkan, album ini dirasakan tidak sesuai dengan zaman itu, sebaliknya dilihat lebih mudah diterima oleh generasi sekarang.

"Muziknya agak moden dan sesuai dengan era masa kini. Begitupun, saya harus mempersiapkan diri terlebih dahulu sebelum melancarkan album berkenaan," katanya.

Ruhil berkata, dia juga kini bersedia untuk aktif semula di arena muzik berikutan dua permata hatinya, Ruhil Ariana Wilson Jamil, 15, dan Raayan Alexander Wilson Jamil, 8, dilihat sudah pandai menguruskan diri.

"Meninggalkan dunia nyanyian dan menumpukan perhatian pada famili antara pengorbanan terbesar pernah saya lakukan.

“Saya hamil dan terpaksa melupakan dunia nyanyian selepas berkahwin pada 2003. Bukan terus berhenti menyanyi, malah sesekali saya masih menerima undangan persembahan secara tertutup. Tetapi, saya jarang muncul di kaca TV dan akhbar.

"Saya tidak pernah menyesali takdir ini, biarpun jauh di sudut hati saya terlalu rindu mahu menyanyi dan beraksi di pentas. Kerinduan untuk menyanyi tak pernah terpadam walaupun sedetik, tetapi keluarga menjadi keutamaan saya," katanya ketika ditemui selepas Konsert Kenangan Lalu KLFM di Pasar Seni, di sini, baru-baru ini.

Ruhil mencipta populariti pada usia 13 tahun apabila muncul dengan album sulung berjudul Di Kamar Sepi yang memuatkan lagu Kawan, pada 1988.

"Saya tidak mungkin meninggalkan dunia nyanyian yang sudah sebati dalam diri. Biarpun lebih 15 tahun tidak aktif menyanyi dan menghasilkan album, saya percaya tiba masanya saya pasti kembali. Saya perlahan-lahan menyusun rentak, tahun ini. Saya juga percaya, Tuhan menyusun takdir saya sebaiknya.

"Saya menyanyi sejak kecil, malah usia remaja saya dihabiskan di pentas nyanyian. Saya tidak seperti kanak-kanak dan remaja lain yang menikmati zaman muda mereka.

"Jadi, ada hikmahnya saya meninggalkan dunia nyanyian seketika untuk memberikan tumpuan pada keluarga. Saya tidak kisah mengorbankan zaman popular. Mungkin masa rehat agak panjang, tetapi cukuplah saya melepaskan lelah selepas penat berjuang sejak kecil," katanya yang kali akhir muncul dengan album kompilasi berjudul Abadi, hampir dua dekad lalu.

Berita Harian X