Ahad, 1 Disember 2019 | 8:58am
PENYANYI, Aina Abdul, melayakkan diri ke pentas AJL34 menerusi lagu Sumpah. - NSTP/Faiz Anuar

Aina elak baca komen negatif

KUALA LUMPUR: Enggan membiarkan diri terkesan, penyanyi, Aina Abdul, 26, cuba mengelak daripada membaca komen negatif ditinggalkan warganet di laman sosial.

Katanya, komen sedemikian ada kala boleh meninggalkan kesan kurang baik ke atasnya selama berhari-hari.

“Saya belum sempat membaca komen di media sosial dan sebagainya. Sememangnya, saya akui terkesan dengan komen negatif. Kadang kala, gara-gara komen ditinggalkan, dua atau tiga hari juga saya berasakan kesannya.

“Saya masih hijau dalam bidang seni, jadi masih banyak perkara perlu saya pelajari. Bukan sahaja dari aspek vokal, malah persembahan dan penampilan. Begitupun, kesilapan lalu memberikan saya ruang untuk menjadi lebih baik.

“Saya juga masih mencari identiti diri dan gaya bersesuaian. Kini, diberikan peluang untuk menjadi antara finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 34, saya cuba untuk memberikan yang terbaik di pentas berprestij itu nanti,” katanya kepada BH Online.

Aina yang layak ke AJL34 dengan lagu ciptaannya, Sumpah, berkata demikian ketika diminta mengulas komen sesetengah pihak yang menyamakan gayanya pada saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (SFMM34), Jumaat lalu, dengan Ramlah Ram ketika bintang berpengalaman itu menyertai AJL3.

AINA ketika mengadakan persembahan pada separuh akhir Muzik-Muzik 34 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Menyentuh kejayaannya ke pertandingan akhir, Aina berkata, ia umpama permulaan buat dirinya untuk melangkah lebih jauh di arena muzik.

“Bukan mudah untuk saya sampai ke tahap ini, malah pelbagai onak duri perlu saya harungi.

“Saya juga terasa terlalu kerdil apabila berada sebaris dengan teman seperjuangan yang diibaratkan sebagai cikgu buat saya.

“Beberapa tahun menyepikan diri selepas program realiti, Mentor Legend, pengiktirafan ini ibarat titik permulaan untuk saya mengembangkan kerjaya dan melangkah lebih jauh dalam bidang seni,” kata Aina.

Berita Harian X