Ahad, 1 Disember 2019 | 7:15pm
Rita dan Lisdawaty yang bertemu di majlis Melodi Salute sempena ulang tahun ke-30 program Melodi terbitan TV3, mengaku sudah lama bertegur sapa dan melupakan kontroversi pergelutan di kolam renang, kira-kira 13 tahun lalu. - Foto Aziah Azmee

'Dah tua, tak laratlah nak gaduh-gaduh'

KUALA LUMPUR: Panas dengan kontroversi bergelut dalam kolam renang hingga hubungan jadi renggang lebih 13 tahun lalu, pelakon Lisdawaty Nazaruddin dan Rita Rudaini tidak lagi menyimpan dendam.

Malah, Lisdawaty dan Rita sedia digandingkan dalam produksi drama atau filem.

Lisdawaty dan Rita yang bertemu pada majlis Melodi Salute sempena ulang tahun ke-30 tahun penerbitan program hiburan sensasi TV3 itu, di sini, hari ini, mengaku enggan mengenang kontroversi memalukan itu pada usia yang meningkat.

“Saya hanya mahu memandang ke hadapan. Tiada orang yang tidak mahu berubah. Lagipun, bukan sahaja umur meningkat, anak pun sudah bertambah. Tidak elok sekiranya kami terus bermasam muka.

“Selepas insiden itu, saya mengaku beberapa kali bermimpi yang positif mengenai Rita. Saya anggap mungkin Allah hendak tunjukkan sesuatu kepada saya.

“Kami sudah semakin berusia, tak laratlah hendak bergaduh. Lagipun industri ini kecil, jika ada yang cuba ‘mencucuk’ itu terpulanglah kepada mereka,” kata Lisdawaty kepada BH Online.

Lisdawaty dan Rita pernah menimbulkan kekecohan ketika penggambaran drama arahan Rashid Sibir berjudul Kau Ku Sayang, kira-kira 13 tahun lalu. Pergeseran itu dipercayai ada kaitan dengan suami Lisda, Fauzi Nawawi.

Sebelum ini, Rita pernah mengeluarkan kenyataan enggan berlakon bersama Fauzi. Namun, pada pertemuan pada acara anjuran Melodi itu, baik Rita, Lisdawaty dan Fauzi, masing-masing tidak kisah digandingkan bersama.

“Setakat ini, kami belum pernah mendapat tawaran berlakon bersama. Sekiranya ada tawaran, kami tiada masalah digandingkan bertiga dalam sebuah produksi.

“Kami sudah lama bertegur sapa, cuma tiada kesempatan untuk berbual panjang. Kiranya, pada hari ini, barulah kami berkesempatan bertanya khabar dan perkembangan diri masing-masing,” kata Rita.

Berita Harian X