Isnin, 2 Disember 2019 | 4:27pm
Rita yang bakal berangkat menunaikan umrah pada 12 Disember ini, tidak berani berjanji pulang dengan imej berhijab selagi dirinya belum bersedia berhijrah. Foto NSTP Aziah Azmee

'Hati berdetik tapi tak berani janji...'

KUALA LUMPUR: Rita Rudaini yang bakal menunaikan umrah pada 12 Disember ini tidak berani berjanji pulang dengan imej berhijab, biarpun menyimpan niat ke arah itu.

Bintang filem Mami Jarum ini memberitahu, jika hatinya sudah terbuka untuk bertudung, dia akan memastikan penampilannya mematuhi syariah.

“Memang terdetik keinginan dalam hati untuk berhijab, tetapi saya tidak berani berjanji apa-apa lagi. Insya-Allah, apabila tiba masanya, saya akan berhijab dengan sempurna.

“Saya tidak mahu pakai tudung kerana pura pura. Apabila memilih untuk berhijrah, saya tidak mahu lagi berbaju ketat yang mengikut bentuk tubuh atau berseluar senteng,” katanya kepada BH Online.

Rita berkata, sepanjang berada di Tanah Suci, dia mahu berdoa agar Allah tetapkan hati apabila dirinya sudah berhijab.

“Saya tidak mahu suka-suka hati pakai dan buka (tudung). Saya bimbang jika suatu hari nanti, dek tidak ikhlas, saya bertindak mengeluarkan kenyataan tidak tenang apabila bertudung.

“Sebab itulah saya mahu benar-benar bersedia dengan keputusan yang bakal dibuat. Rugilah apabila sudah berniat untuk berubah tetapi pemakaian masih tak sempurna,” katanya.

Rita juga menolak bertudung untuk mempromosikan produk hijab atau atas tujuan berfesyen.

Bakal menunaikan umrah buat kali ketiga, Rita ditemani dua puteranya iaitu Airit Rayyan Rizqin,10, dan Airit Qaqa Arjuna, 8.

Sepanjang berada di Tanah Suci, Rita meminta mutawif mengawasi kedua-dua anaknya ketika bersolat. Ini kerana mereka akan bersolat secara berasingan.

Rita berkata, Rayyan dan Arjuna teruja untuk menunaikan umrah. Lebih-lebih lagi Arjuna yang kali pertama melakukannya.

“Insya-Allah, saya sudah minta agensi yang menguruskan perjalanan umrah kami membantu mengawasi Rayyan dan Arjuna terutama ketika bersolat.

“Tapi, saya sudah ingatkan Rayyan menunggu saya di lokasi ditetapkan selepas selesai bersolat.

“Sebagai persediaan, saya juga meminta anak-anak menonton video cara menunaikan umrah di YouTube. Selain itu, saya meminta mereka menghafal doa pendek yang mudah. Saya sediakan buku kecil untuk menulis doa sebagai rujukan jika terlupa,” katanya.

Berita Harian X