Isnin, 2 Disember 2019 | 8:33pm
Gagal bersaing di pentas akhir, Farouk dan Amylea menerima keputusan juri AJL34 dan mahu terus berkarya. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

'Bukan rezeki kami...'

KUALA LUMPUR: Komposer Farouk Roman menganggap kegagalan tiga lagu ciptaannya mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke- 34 sebagai bukan rezeki dan tidak sepatutnya disensasikan.

Farouk mengaku biarpun sedikit kecewa, namun dia percaya dengan kredibiliti juri dan menghormati keputusan dibuat.

“Tidak dinafikan, memanglah ada rasa kecewa. Namun, saya dan Amylea profesional dan terbuka dengan keputusan diumumkan.

“Jika ada yang menuduh kami tidak puas hati atau ‘meroyan’ kerana lagu kami gagal ke pentas akhir, itu semua tidak benar.

“Mungkin juri ada pertimbangan sendiri dalam menilai setiap lagu. Sebagai komposer, apa yang penting bagi adalah peminat suka dan terhibur dengan lagu dicipta.

“Berikutan kebanyakan lagu ciptaan kami dibuat untuk runut bunyi drama, kami akan cuba pastikan lagu itu memberi impak terhadap drama terbabit,” katanya kepada BH Online.

Pada peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SFMM34), Farouk mempertaruhkan tiga lagu iaitu Tiada Dirimu yang didendangkan Shila Amzah; Bimbang (Marsha) dan Tetap Kamu (duet Amylea bersama Megat). Amylea menyumbang lirik untuk semua lagu berkenaan.

Dalam penyertaan berasingan, Amylea tampil dengan lagu ciptaan berjudul Pudar yang dipersembahkan Indah Ruhaila.

Mengenai luahan kecewa peminat apabila tiada satu pun lagu ciptaan bolos pentas akhir sedangkan empat lagu mereka dipertandingkan di SFMM34, Farouk amat menghargainya.

“Terima kasih kepada peminat yang meluahkan rasa kecewa atau simpati. Kami sangat menghargainya... Mungkin bukan rezeki kami. Selepas ini, kami mahu jalan terus dan enggan toleh ke belakang.

“Ada banyak projek lain yang menanti antaranya pembikinan lagu untuk drama bersiri berjudul Adellea Sofea. Banyak lagi yang menarik termasuk karya untuk penyanyi hebat.

“Kami juga sedang berbincang menghasilkan lagu seorang penyanyi terkenal... Nantikan,” katanya.

Jumaat lalu, 12 lagu diumumkan layak ke AJL34 yang bakal berlangsung, Februari depan.

Lagu itu adalah Lembah Kesepian ciptaan Haqiem Rusli dan lirik tulisan Haqiem bersama Ibnu & Gouffran yang dinyanyikan artis remaja itu sendiri; Drama (Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib, / Drama Band); Sumpah (Naim Daniel, Omar K / Naim Daniel); Kisah Cinta Kita (Ikhwan Fatanna, Ayden Ali / Datuk A Aida / Hafiz Suip) dan Ku Bersuara (Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham / Ernie Zakri).

Turut berentap adalah karya hasil ciptaan Navigator, Bangun, nyanyian Aman RA; Ragaman (Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo / Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan / Faizal Tahir); Anta Permana (Hael Husaini, Ezra Kong / Datuk Seri Siti Nurhaliza); Rampas (Hang Nadim, Laq / Bunga Cantik / Akim & The Majistret) dan Dinda (Ali Sariah / Kugiran Masdo).

Tidak ketinggalan memberikan saingan adalah Peneman karya ciptaan Tam yang didendangkan Hazama serta Sumpah, ciptaan dan nyanyian Aina Abdul.

Berita Harian X