Selasa, 3 Disember 2019 | 9:00am
Jasmin sentiasa menjaga penampilan bukan kerana dirinya artis, sebaliknya soal kecantikan dan kebersihan diri sudah dititikberatkan sejak muda. - Foto NSTP Rosdan Wahid

'Nak cantik kenalah gigih'

KUALA LUMPUR: Sering memanjakan diri dengan berkunjung ke salun kecantikan, Jasmin Hamid berkongsi petua kepada wanita agar sentiasa menawan.

Pada usia 46 tahun, Jasmin terus menjaga penampilan bukan kerana dirinya selebriti, namun sebagai wanita, perkara itu cukup dititikberatkan sejak muda.

“Jangan ingat kalau sudah berkahwin, misalnya, tak perlu jaga kecantikan dan kebersihan diri.

“Jangan fikir, sudah ada suami, tiada mata yang memandang... Jangan sorokkan diri. Serlahkan kecantikan kamu. Semua orang cantik. Kalau ada yang beritahu kamu tidak cantik, jangan lemah semangat.

“Mungkin ada yang fikir, saya artis, bolehlah buat itu dan ini... Salah tanggapan itu. Takkanlah hendak beli sabun muka tak berduit? Takkanlah sebagai wanita menguruskan keluarga, kita tidur dengan bau bawang atau cili setiap hari?” katanya kepada BH Online.

Jasmin yang mencipta nama dalam filem Boss dan Kanta Serigala berkata, setiap wanita memiliki kecantikan sendiri.

Tambahnya, untuk menjaga penampilan, wanita tidak sepatutnya membandingkan diri dengan insan lain.

“Hendak jaga kecantikan, usah bandingkan dengan orang lain. Ukurlah baju di badan sendiri, ikut kemampuan kita. Hendak ikut orang lain, memanglah tidak berdaya.

“Namun, apa yang penting, rohani kita mesti bersih. Hati perlu baik dan berfikiran positif selalu,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Jasmin membintangi drama Pesan Pada Hati iaitu arahan terakhir Allahyarham Raja Ahmad Alauddin. Drama yang menampilkan Shukri Yahaya dan Chacha Maembong itu disiarkan melalui slot Lestary di TV3.

Berita Harian X