Selasa, 3 Disember 2019 | 11:00am
Awie dan isterinya, Sharifah Ladyana pada majlis kesyukuran dan sambutan hari jadi ke-51 di sebuah hotel di ibu negara, Jumaat lalu. Foto NSTP Amirudin Sahib

Awie jadi penerbit drama, filem pada 2020

KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan membuat persiapan Konsert Awie Romantika 2020, Datuk Awie merancang menerbitkan drama dan filem pula.

Awie atau nama sebenarnya, Azhar Othman, 51, berkata, syarikat dikenali sebagai Rumah Produksi Merah akan mula aktif tahun hadapan, seiring dengan konsert mega.

“Semua rezeki ini datang serentak. Namun, saya dibantu pasukan kuat untuk kedua-dua projek besar ini iaitu konsert pada 15 Februari dan operasi syarikat produksi,” katanya kepada BH Online.

Awie sedar mungkin ramai bertanya mengapa baru sekarang dia mahu menubuhkan syarikat produksi.

“Sebenarnya, idea membuka rumah produksi bukan mudah. Ini kerana kita perlu ada rakan niaga yang betul selain faktor sokongan seperti petugas.

“Manusia datang dengan wajah baik tetapi hati kita tidak tahu. Saya dipertemukan dengan hamba Allah yang betul hingga kami sepakat membuka syarikat ini.

“Saya sudah berjumpa dengan siapa yang layak dan boleh melaksanakan misi ini bersama-sama. Kita buat kerja untuk mendapat hasil yang bagus, bukan meraih glamor tapi akhirnya hancur,” katanya.

Ditanya sama ada peminat berpeluang melihat hasil arahannya, Awie berkata, sebagai permulaan, dia lebih selesa menjadi penerbit.

“Tanggungjawab pengarahan biarlah diberi kepada pakar biarpun saya pernah menjadi pengarah bersama sebuah produksi,

“Buat masa ini, saya jadi penerbit sahaja. Namun, jika tepat masanya, mungkin saya duduk di kerusi sutradara... Itu pun untuk kepuasan,” katanya.

Mengenai konsert solo di Stadium Malawati, Shah Alam sempena karier solo yang memasuki tahun ke-25, Awie mengaku melawan debar memastikan acara itu berbeza.

Tambahnya, elemen drama membabitkan suasana ria dan melankolik yang cuba dihidupkan dalam persembahan sejam 45 minit itu menyuntik cabaran tersendiri.

Namun, kata Awie, cabaran mendatang mampu ditangkis dengan sokongan semua pihak terutama pasukan penganjur dan Awie Entertainment.

Jumaat lalu, Awie mengadakan majlis kesyukuran dan sambutan hari jadinya yang ke-51 di sebuah hotel, di sini. Majlis itu dihadiri isteri, Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, keluarga dan teman rapat.

Berita Harian X