Selasa, 3 Disember 2019 | 2:44pm
ROY akur tersingkir pada persaingan minggu kelapan Gegar Vaganza 6, malam kelmarin. - Foto Hafiz Sohaimi

'Saya tak kacak, siapa nak panggil menyanyi?'

SHAH ALAM: Masalah sakit tekak dan pilihan lagu bukan untuk konsert menjadi antara faktor penyanyi Roy, tersingkir pada konsert minggu kelapan Gegar Vaganza (GV) musim keenam, malam kelmarin.

Roy yang memilih lagu Seniman Menangis, nyanyian asal Ismail Haron dan dipopularkan semula Datuk Jamal Abdillah, bagaimanapun tidak terkilan dengan penyingkirannya kerana sudah menjangka perkara itu.

“Saya memang sudah menjangka bakal tersingkir kerana lagu yang saya nyanyikan itu bukan untuk konsert, sebaliknya lebih sesuai dibawakan ketika persembahan santai.

“Ia tidak seperti Jerat yang saya nyanyikan sebelum ini. Untuk Jerat, saya ada melakukan sedikit perubahan dari segi susunan muzik, sekali gus memberikan cabaran tersendiri ketika menyanyikannya.

“Saya sepatutnya memberikan lebih untuk Seniman Menangis. Namun, disebabkan versi asal lagu itu sudah terlalu baik, saya terikut-ikut dengan cara penyampaian Jamal.

“Tambahan pula, keadaan kesihatan saya tidak begitu baik kerana sudah lebih seminggu mengalami sakit tekak. Jadi, saya perlu berhati-hati ketika melontarkan vokal kerana bimbang suara pecah,” kata pemilik nama lengkap Mohammed Rauzan Alwi itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Ratnaku itu berkata, dia juga akur dengan kehendak industri hiburan yang lebih mementingkan penampilan fizikal, berbanding vokal.

“Kalau kita tiada pakej yang bagus, orang tidak akan panggil menyanyi. Saya perlu realistik dalam hal ini. Saya akui, tidak punya wajah kacak dan perut pula buncit.

“Cuba lihat Jamal. Dia antara contoh penyanyi yang ada pakej lengkap iaitu rupa dan kurus, selain mempunyai banyak himpunan lagu popular. Bukan saya mahu rendahkan diri, tetapi itu hakikat yang harus kita terima,” tegas penyanyi berusia 55 tahun itu.

Mengenai perancangannya selepas tersingkir, Roy berkata, dia akan kembali menjadi penyanyi jalanan, selain meneruskan kerjayanya sebagai pensyarah vokal.

Berita Harian X