Selasa, 3 Disember 2019 | 4:24pm
PELAKON Indonesia, Aura Kasih (kanan) dan The Sacred Riana pada sidang media filem The Sacred Riana: Beginning di Bandar Utama, Petaling Jaya. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

The Sacred Riana buat Aura Kasih ketakutan

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Aura Kasih, berkongsi pengalaman pelik ketika bertemu juara program Asia’s Got Talent 2, The Sacred Riana, buat kali pertama di lokasi penggambaran filem lakonan mereka.

Menurut Aura atau nama sebenarnya Shahiyani Febri Wiraatmadja, saat bertentang mata di set The Sacred Riana: Beginning, dia ketakutan apabila wanita itu langsung tidak bercakap dan hanya mendiamkan diri.

“Sebelum ini, saya pernah melihat Riana dalam beberapa majlis di Jakarta. Saya dapati, dia langsung tidak bercakap dengan tetamu lain. Ditambah dengan tabiatnya yang suka menggerakkan kepala dan patung yang sentiasa digenggam erat di tangan, ia membuatkan saya jadi takut.

“Semua itu belum termasuk ilmu silap matanya yang berbeza dan tidak pernah disaksikan sebelum ini. Saya pernah juga menegurnya di set, namun dia langsung tak membalas sapaan. Sebaliknya, dia hanya mendiamkan diri.

“Jika ada perkara berkaitan penggambaran yang perlu dibincangkan, saya hanya berkomunikasi dengan pihak pengurusannya. Riana lebih suka menyendiri di bilik yang disediakan selepas tamat penggambaran,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis sidang media bersama pelakon filem terbabit, di sini.


PELAKON The Sacred Riana: Beginning, Aura Kasih. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Berikutan The Sacred Riana filem bergenre seram fantasi dan dirakam pula di sebuah rumah tinggal di kawasan pedalaman, Aura mengakui situasi itu menyebabkan dirinya mengalami gangguan mistik.

“Ketika menjalani penggambaran di rumah agam berkenaan, saya menjadi begitu emosi sehingga mengalirkan air mata. Ada juga saya bertanyakan perkara itu kepada ‘team’ Riana dan menurut mereka, rumah itu sangat ‘keras’.

“Untuk mengelakkan terus diganggu, biasanya saya akan melepak bersama kru. Saya lebih rela berada di set bersama teman lain daripada duduk berseorangan di bilik,” ujar artis yang mula dikenali menerusi lagu Mari Bercinta ini.

Selain mereka, filem arahan Billy Christian itu turut menampilkan Agatha Chelsea, Citra Prima, Brooklyn Alif Rea, Angrean Ken dan Prabu Revolusi.

Ia bakal menemui penonton di pawagam pada 12 Disember ini.

Berita Harian X