Rabu, 4 Disember 2019 | 8:59am
PELAKON dan pengacara, Janna Nick, bakal muncul dengan sebuah program bual bicara, tahun depan. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Janna bakal kendali program bual bicara pula

KUALA LUMPUR: Pelakon, Janna Nick, akan mengembangkan lagi sayap dalam bidang pengacaraan apabila muncul dengan program bual bicara, tahun depan.

Peluang itu menjelma selepas dua tahun Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu mengendalikan program popular, Melodi, di TV3.

“Insya-Allah, saya akan terbabit dengan rakaman program baharu berkonsep bual bicara, juga untuk TV3, tahun depan. Ia sebuah program santai dan menyeronokkan. Cuma, saya belum boleh bercerita lanjut mengenainya, buat masa ini.

“Peluang untuk mengacarakan rancangan terbabit juga hadir ketika saya bersama Melodi. Jujurnya, saya sendiri tidak sabar untuk mengacarakan program terbabit,” katanya ketika ditemui pada acara Melodi Salute bersempena 30 tahun program berkenaan, di sini.

Bintang Syurga Nur dan Leftenan Zana itu juga berkata, percaturannya mencabar diri mengacarakan Melodi bersama Ajak Shiro adalah tepat.

“Saya rasa tiada salahnya memilih Melodi sebagai platform pertama untuk mengasah bakat dalam pengacaraan. Malah, kini pasukan kerjanya sudah seperti keluarga sendiri walaupun baru dua tahun saya bersama mereka.

“Melodi banyak memberikan pengalaman berharga untuk saya, selain ilmu yang tidak mungkin saya peroleh di mana-mana institusi. Saya takkan lupakan Melodi sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, tiga dekad bersiaran, rancangan hiburan sensasi itu dilihat kekal relevan ketika program dalam talian dikatakan semakin mendapat tempat di hati penonton.

Penerbitnya, Dalili Michelle Abdullah Wee, berkata rancangan itu juga mengikut peredaran masa dan sejak beberapa tahun lalu, ia tidak hanya tertumpu pada saluran televisyen.

"Dengan pelbagai platform tontonan tersedia untuk orang ramai di serata dunia, Melodi sendiri tidak ketinggalan menyediakan saluran tontonan sendiri buat peminat.

“Kekuatan sesebuah program pasti menjadi nadi dan aset penting bagi mana-mana stesen televisyen, tetapi pada masa sama ia boleh disalurkan ke pelbagai medium, termasuk media sosial mahupun YouTube, contohnya.

“Kini, Melodi bukan hanya mempunyai pasukan kerja untuk televisyen, tetapi juga bahagian digital yang bertanggungjawab menyiarkan program ini di platform lain," kata Michelle.

Berita Harian X