Rabu, 4 Disember 2019 | 1:01pm
GAYA pelakon, Jasmine Suraya Chin, ketika hadir pada sebuah acara di ibu kota, baru-baru ini. - Foto Instagram Jasmine Suraya Chin

'Saya pakai coli lah!'

KUALA LUMPUR: “Orang salah faham... Saya pakai coli ketika menggayakan baju itu, cuma ia bukan jenis biasa.”

Demikian jelas pelakon, Jasmine Suraya Chin, ketika diminta mengulas mengenai penampilannya saat menggayakan persalinan menampakkan lurah pada sebuah majlis, baru-baru ini, sehingga tular di alam maya.

Katanya, dia memahami sensitiviti masyarakat berhubung isu berkenaan, sekali gus akan lebih berhati-hati dari segi pemakaian selain perkongsian di laman sosial.

“Sebenarnya saya takut nak memberikan sebarang reaksi kerana bimbang disalah tafsir atau seolah-oleh cuba mempertahankan diri. Saya pun tak sangka gambar busana pereka itu akan menjadi kecoh seperti ini, sampai ada yang salah faham.

“Bagi saya bab (seksi) seperti ini sangat sensitif dan saya pun mahu menjaga perasaan masyarakat. Memang ramai yang tinggalkan komen, tetapi apa pun tanggapan sesetengah pihak, saya tak boleh halang. Terpulang kepada persepsi masing-masing.

“Saya pula menerima semua komen yang dilayangkan pengikut di Instagram dengan hati terbuka. Paling utama, saya akan sentiasa beringat,” kata pelakon Tionghua berasal dari Kuching, Sarawak itu.

Positif berdepan dugaan, gadis berusia 30 tahun yang menyerlah menerusi filem Paskal itu juga mahu memberikan tumpuan terhadap kerja penggambaran telefilem, Jangan Ambil Kerja Tuhan, selain drama bersiri untuk slot Akasia berjudul Adellea Sofea.

Katanya, selepas ini dia akan berkampung selama tiga minggu di Bangkok, Thailand, pula untuk menyertai penggambaran sebuah filem seram terbitan produksi Hong Kong.

Berita Harian X