Khamis, 5 Disember 2019 | 1:00pm
HANEESYA cabar diri menyertai program realiti pencarian model Miss Pinklady Asia musim kedua. - Foto Hafiz Sohaimi

Belum masa bersikap selektif - Haneesya Hanee

KUALA LUMPUR: Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Haneesya Hanee, tidak melihat penyertaannya dalam pertandingan program realiti pencarian model Miss Pinklady Asia (MPLA) musim kedua mengganggu fokusnya dalam bidang lakonan.

Haneesya, 19, berkata sebagai bakat baharu, dia perlu bijak memanfaatkan peluang yang datang, meskipun ramai berpendapat sebaiknya memberi tumpuan membina nama dalam bidang

seni.

“Saya tahu ramai berpendapat, lebih baik saya kukuhkan nama dalam bidang lakonan memandangkan laluan ke arah itu sudah terbentang. Namun, sebagai bakat baharu, saya tidak boleh terlalu memilih.

“Perjalanan saya dalam bidang seni masih jauh, tetapi mereka juga harus ingat, langkah saya bermula sebagai model pada usia 15 tahun. Jadi, tidak salah untuk saya terus teroka peluang dalam dunia peragaan.

“Ketika ini, saya mahu terlebih dahulu memberikan fokus pada kerjaya peragaan. Insya-Allah, tahun depan baru saya akan kembali fokus pada dunia lakonan,” katanya

Tambah artis yang sering berdepan isu sensasi dan kontroversi itu, dia mempunyai alasan tersendiri menyertai pertandingan yang menampilkan 12 peserta dari lapan negara Asia, termasuk Thailand, Myanmar, India, Korea Selatan, Filipina, Singapura, Indonesia dan Hong Kong.

“Sebelum ini, ada pihak mengusulkan supaya saya mencuba nasib dalam pertandingan Asia’s Next Top Model (ANTM). Jadi, saya lihat MPLA sebagai batu loncatan dan persediaan sekiranya saya berpeluang menyertai ANTM.

“Tambahan pula, MPLA turut menggunakan format sama seperti ANTM. Saya harap dapat terus meneroka dan mencabar diri untuk melihat sejauh mana kemampuan saya dalam dunia peragaan.

“Saya cuma mahu tambah pengalaman,” katanya mengenai program yang boleh ditonton menerusi YouTube bermula 4 Januari depan.

Ditanya potensi untuk dia mengungguli pertandingan itu, Haneesya atau nama penuhnya, Sharifah Haneesya Syed Sahlan, tidak berani meramalkan peluang.

“Kita tidak tahu pengaruh yang dimiliki peserta negara lain. Apa sahaja kemungkinan boleh terjadi,” katanya yang bakal muncul dengan single sulung, Mengejar Mimpi.

Berita Harian X