Sabtu, 7 Disember 2019 | 9:00am
Fatimah menyiram air mawar di pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Batu Belah, Klang, kelmarin, sambil diperhatikan anak mereka, Intan Najihah (duduk). Foto NSTP Roslin Mat Tahir

Nassier jaga hati teman, aktif main 'kutu'

KUALA LUMPUR: Allahyarham Datuk Nassier Wahab dikenang sebagai insan yang menjaga silaturahim malah aktif bermain ‘kutu’ dengan teman-teman sehingga menghembuskan nafas terakhir, kelmarin.

Pelakon dan penyanyi, Liza Abdullah memberitahu, arwah sentiasa menjaga ukhwah dan sering bertanya khabar.

“Ogos lalu, pada sambutan hari jadi komposer S Atan, arwah tidak sihat tetapi sanggup datang untuk berjumpa kawan-kawan.

“Dia sangat menjaga silaturahim malah sampai sekarang, aktif bermain kutu bersama kami,” katanya kepada BH Online.

Khamis lalu, Nassier, 57, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pada jam 12.45 pagi akibat kanser rahang.

Allahyarham pergi dalam keadaan mengejut selepas muntah darah kira-kira jam 12.30 malam.

Nassier meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah, 22.

Liza berkata, hubungan dengan arwah termasuk keluarganya di Pulau Pinang sangat rapat selepas masing-masing bertapak dalam dunia seni lebih 30 tahun lalu.

“Kami sentiasa bersama tidak kiralah susah atau senang sejak 1986. Kami saling membantu apabila ditimpa masalah.

Penyanyi popular era 80-an yang terkenal dengan lagu 'Memori Cinta Luka' Datuk Nassier Wahab. - Foto BERNAMA

Saudara mara dan rakan artis turut menyertai solat jenazah untukt allahyarham penyanyi Datuk Nassier Wahab, 57, di Masjid SirajuddinAl Anuar, Kampung Batu Belah, Klang. - Foto Roslin Mat Tahir

“Arwah adalah antara kawan rapat di mana kami boleh berbual kisah lama. Cuma dengan arwah, kita mesti menjaga tutur kata sebab dia sensitif orangnya.

“Susah hendak cari teman yang berbudi pekerti, baik dan penyayang,” katanya yang ralat tidak dapat bertemu arwah buat kali terakhir.

Sementara itu, penyanyi Acong teringat kenangan bersama arwah yang digelar ‘Abang Long’ ketika mereka bersaing dalam program realiti Gegar Vaganza (GV) musim kedua.

“Ketika itu, kami ada kumpulan WhatsApp. Arwah ibarat menyatukan kami yang bersaing dalam GV2.

“Setiap kali ada majlis di rumah, arwah mesti menjemput kami menjadikan hubungan rapat.

“Jiwanya sangat mulia di mana jika berborak, dia boleh menitiskan air mata. Arwah tak lekang dengan senyuman. Peranannya sebagai abang membuatkan persahabatan kami erat,” katanya yang sempat mengucup dahi arwah sebelum dibawa ke majlis pengebumian, kelmarin.

Pada GV2, Nassier mara ke pentas final hingga mendapat tempat keempat. Pada edisi itu, penyanyi Siti Nordiana muncul juara.

Berita Harian X