Ahad, 8 Disember 2019 | 9:23am
ABBY dan suami reda dengan pemergian anak mereka selepas 70 hari bertarung nyawa. - Foto IG Abby Abadi
ABBY dan suami reda dengan pemergian anak mereka selepas 70 hari bertarung nyawa. - Foto IG Abby Abadi

Anak Abby Abadi meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Selepas 70 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh, bayi penyanyi dan pelakon Abby Abadi, Muhmammad Danial Firman, menghembuskan nafas terakhir, malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan Abby menerusi akaun Instagram miliknya kira-kira jam 2 pagi tadi. Pelakon Gerak Khas itu bagaimanapun, tiada di sisi anaknya kerana berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan umrah bersama keluarganya sejak dua hari lalu.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 41, dalam hantaran sama memaklumkan, jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, di sini, pagi ini.

Dia yang turut berkongsi wajah arwah anaknya menerusi sebuah paparan video turut memohon maaf kerana tidak berada di sisi Muhammad Danial Firman Faizal Muhammad Faizal.

“Muhammad Danial Firman telah pergi meninggalkan kami. Maafkan mama dan abah sayang.

“Ini video terakhir sebelum kami tinggalkan dia untuk menunaikan umrah pada Khamis lalu. Maafkan mama dan abah, sayang,” tulis Abby.

Sementara itu, suami Abby, Faizal Zakaria pula terkilan kerana tidak dapat menatap wajah bayi mereka buat kali terakhir.

Faizal menerusi satu muat naik di Instagram memohon maaf kepada bayi mereka kerana tiada di sisi pada saat akhir.

“Hari kedua abah dan mama di Makkah, Baby D pergi meninggalkan kami. Sedih sangat sebab abah tidak dapat jumpa Baby D untuk kali terakhir.

“Abah tidak dapat uruskan Baby D. Maafkan abah sayang sebab tidak dapat menguruskan baby untuk kali terakhir. Abah doakan moga Allah temukan kita di syurga nanti,” tulisnya.

Semalam, Abby turut memuat naik gambar dan memohon peminat mendoakan kesembuhan anaknya, selepas suaminya menerima panggilan telefon mengenai keadaan terkini bayi itu.

Abby, bagaimanapun tidak menceritakan secara terperinci keadaan bayinya, sebaliknya hanya menyatakan, dia dan suami mengharapkan keajaiban daripada Allah.

Muhammad Danial Firman dilahirkan pada 27 September lalu dengan berat 535 gram. Allahyarham dilahirkan secara pembedahan ketika kandungan Abby mencecah lima bulan selepas mengalami turun darah berikutan tekanan darah tinggi.

Abby dan Faizal yang mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015, turut mempunyai dua anak angkat iaitu Muhammad Daiyan Fayyan dan Maisara Dayana Fathia yang berusia setahun lebih.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Abby dianugerahkan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim 16, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisah Hakim, 11.

Berita Harian X