Selasa, 10 Disember 2019 | 9:00am
Kemesraan ditunjukkan Sham dan Naqiu melalui foto yang dikongsi di media sosial, pantas menarik perhatian peminat terhadap hubungan mereka. Foto IG Sham Visa

'Sayang macam abang'

KUALA LUMPUR: ‘Itu cerita paling kelakar!’

Demikian jawapan peserta musim keenam Gegar Vaganza (GV6), Naqiu, ketika mengulas kata-kata nakal warganet terhadap hubungan rapat yang ditunjukkan dengan pesaing dalam program realiti itu, Sham Visa.

Aksi mesra dan manja antara Naqiu dan Sham yang dikongsi di laman sosial, mencetuskan spekulasi peminat terhadap hubungan mereka.

Menyifatkan hubungan dengan vokalis kumpulan Visa itu persis adik dan abang, Naqiu atau nama penuhnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, 33, tidak kisah dengan spekulasi netizen.

Baginya, netizen hanya menilai tanpa tahu kedudukan sebenar.

“Kebetulan, ketika cerita itu dicetuskan warganet, saya ada bersama abang Sham. Kami tergelak besar membaca komen dan berpakat mengusik mereka dengan foto lebih mesra.

“Saya sayang dia sebagai abang. Pada mereka yang menyebarkan cerita bukan-bukan, saya hendak ucap terima kasih kerana saya tahu, jauh di lubuk hati, anda sangat menyayangi kami,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Sham atau nama penuhnya, Rohisham Hashim, 47, berkata, dia sudah lama mengenali bekas vokalis kumpulan Boboy itu.

“Saya kenal Naqiu ketika dia mula-mula mahu menceburi bidang seni. Ketika itu, mereka sering berlatih di studio rakaman saya di Ampang Point.

“Apabila melihat Naqiu sekarang berbanding zaman remajanya dahulu, saya sangat kagum dengan evolusi dirinya. Dia juga pemain gitar yang hebat,” katanya.

Sham berkata, Naqiu banyak membantu ketika dirinya berhadapan masalah vokal.

“Dia banyak memberi semangat dan motivasi kerana pernah mengalami masalah sama,” katanya yang popular dengan lagu Dalam Gerimis dan Untukmu Selamanya.

Sham dan Naqiu layak mara ke peringkat separuh akhir GV6, Ahad ini. Mereka bersaing bersama enam peserta lain iaitu kumpulan One Nation Emcees, Hady Mirza, Jatt, Noorshila Amin, Nur Fatima dan Wann.

Berita Harian X