Selasa, 10 Disember 2019 | 2:31pm
NATASHA kini menjadikan aktiviti berkuda sebagai rutin untuk membina semula kekuatan diri. - Foto IG Natasha Hudson
NATASHA kini menjadikan aktiviti berkuda sebagai rutin untuk membina semula kekuatan diri. - Foto IG Natasha Hudson

Berkuda, memanah terapi duka Natasha

KUALA LUMPUR: Kekecewaan dan kegagalan dalam rumah tangga tanpa diduga menemukan kembali pelakon jelita, Natasha Hudson dengan minat yang sudah lama ditinggalkan.

Mengakui dirinya semakin kuat untuk kembali bangkit selepas empat kali gagal dalam perkahwinan, Natasha, 37, berkata dia kini memperoleh semangat baharu apabila membabitkan diri dengan aktiviti riadah seperti menunggang kuda dan berbasikal.

Rutin yang semakin sebati dengan dirinya turut mendorong pemilik nama lengkap Natasha Liana Hudson itu untuk berjinak-jinak mencuba sukan memanah, malah mencabar diri menyertai pertandingan secara serius.

“Diikutkan, sudah lama saya aktif menunggang kuda, namun disebabkan berdepan kecederaan, saya terpaksa tinggalkan aktiviti itu buat seketika. Selepas apa yang saya lalui dalam kehidupan berumah tangga, saya terfikir untuk kembali bergiat aktif dalam sukan berkuda, selain berbasikal.

“Ia membuatkan saya menjadi semakin positif, malah saya anggap sebagai terapi untuk melupakan kesedihan. Menunggang kuda umpamanya, menuntut saya menjadi lebih fokus dan perlu menguasai kemahiran, terutama dari sudut keselamatan diri,” katanya.

NATASHA turut mencabar diri menyertai pertandingan memanah di Ipoh, baru-baru ini. - Foto IG Natasha Hudson
NATASHA turut mencabar diri menyertai pertandingan memanah di Ipoh, baru-baru ini. - Foto IG Natasha Hudson

Tambah Natasha, dia beruntung diperkenalkan dengan jurulatih hebat dan berpengalaman ketika mula terbabit dengan aktiviti memanah, termasuk daripada pasukan Pemanah Jawi atau lebih dikenali sebagai Panji.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih iaitu Zam dan Mika Irfan yang begitu serius menyokong saya. Dorongan mereka membuatkan saya menjadi lebih bersemangat menguasai skil memanah dan menunggang kuda.

“Sebelum ini, saya agak trauma untuk menunggang kuda kerana bimbang kembali berdepan kecederaan. Mereka juga menggalakkan saya supaya belajar memanah dan mencuba aktiviti memanah berkuda.

“Banyak yang saya pelajari sepanjang tiga bulan ini. Ia cukup mengujakan, pada masa sama sangat mencabar. Lagipun, aktiviti riadah seperti ini juga sunnah,” katanya.

Natasha berkata, dia juga mencabar dirinya dengan menyertai pertandingan memanah dan memanah berkuda di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

“Memang sengit dan ia memberikan saya pengalaman baharu kerana perlu bersaing dengan lebih 200 pemanah hebat dari serata negara,” katanya.

Tambah pelakon filem Chermin itu lagi, dia juga merancang untuk menganjurkan kursus menunggang kuda dan memanah secara eksklusif bersama pengikut di laman sosial.

“Memang kalau boleh, saya ingin mengajak lebih ramai supaya mencuba sukan ini dan merasai sendiri keseronokannya. Insya-Allah, saya akan lebih aktif tahun depan untuk terus mempromosikan aktiviti sihat ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X