Isnin, 16 Disember 2019 | 3:03pm
SELEPAS tiga minggu bertarung nyawa, anak keempat Azian menghembuskan nafas terakhir, 11.30 pagi tadi. Foto IG Azian Mazwan Sapuwan

Anak Azian Mazwan meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Anak penyanyi era 1980-an, Azian Mazwan Sapuwan iaitu Mohammad Aqil Zulkarnain, 19, meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi tadi selepas tiga minggu koma akibat kemalangan jalan raya.

Mohammad Aqil yang juga anak keempat daripada tujuh beradik, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas mengalami kemalangan motosikal pada 22 November lalu.

Rentetan kemalangan itu, Mohammad Aqil mengalami kecederaan dalaman yang serius sehingga terpaksa dibius untuk direhatkan bagi memulihkan hati dan limpanya.

Pembantu peribadi penyanyi lagu Cinta Embunan Pagi itu, Norazimah Yaacob, berkata jenazah masih lagi berada di hospital bagi menjalani prosedur bedah siasat, seterusnya dibawa ke Putrajaya untuk dikebumikan.

“Kami belum tahu bila jenazah akan dikebumikan kerana masih menanti prosedur bedah siasat selesai. Pihak keluarga Azian kalau boleh tidak mahu bedah siasat dilakukan, tetapi perlu akur dengan prosedur.

“Jika semuanya selesai dan berjalan lancar, jenazah dijangka akan dikebumikan pada petang ini,” katanya.

Terdahulu, Azian menerusi kemas kini terbaru di laman Instagram, memaklumkan mengenai berita pemergian anaknya.

“Anakanda saya, Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah, jam 11.30 pagi ini.

“Semoga roh Allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Ya Allah... Kuatkan aku...,” tulis penyanyi itu.

Berita Harian X