Selasa, 17 Disember 2019 | 1:00pm
Fattah mahu terus mempelbagaikan karakter yang dilakonkan baik dalam drama mahupun filem. Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Fattah mahu terus mempelbagaikan karakter yang dilakonkan baik dalam drama mahupun filem. Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

'Cukup-cukuplah drama cinta'

KUALA LUMPUR: Tiada apa lagi yang perlu dikejar jejaka ini. Populariti dan kebahagiaan tersimpul kemas dalam genggaman aktor kacak, Fattah Amin, 29. Hakikatnya, catatan hidupnya sebagai seorang ‘hero’ belum lagi tumbang.

Memilih untuk memperlahankan lakonan drama selepas mendirikan rumah tangga juga bukan bermakna populariti pelakon Hero Seorang Cinderella itu semakin tumpul.

Sebaliknya, pemilik nama Abdul Fattah Mohd Amin mahu mencorak perjalanan kerjayanya supaya tidak dilihat sama sahaja atau ‘stereotype’. Dia tidak mahu dilihat hanya mampu melakonkan watak dalam naskhah cinta.

Bukannya bosan, sebaliknya suami kepada aktres jelita, Nur Fazura Sharifuddin, 36, ini mahukan karakter yang lebih menguji diri. Watak lelaki diulit dunia percintaan sudah enam tahun berada dalam genggamannya.

Jika sudah tidak popular, masakan Fattah tetap menjadi pilihan peminat hingga diangkat sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Edisi Ke-32 (ABPBH 32), baru-baru ini.

Semakin bijak mengatur bicara, Fattah mengakui:

“Saya tidak mahu dikenali sebagai pelakon 'stereotype'. Rasanya, sudah cukup saya tampil dengan drama yang mengusik hati.

“Saya tahu penonton sukakan drama cinta yang membuai jiwa, tetapi sampai bila? Sebagai pelakon, saya mahukan karakter yang lebih menguji lakonan.

“Bukan tiada tawaran, sebaliknya saya lebih selektif. Saya pastinya takkan melepaskan tawaran sekiranya watak dan kisah yang dipaparkan berbeza.

“Saya tidak mahu mengambil watak sama. Mungkin saya hanya menerima tawaran satu drama setahun. Tahun ini, saya hanya muncul dalam drama Cetera Hati Diya siaran TV3. Saya mahu membuktikan saya mampu membawa watak yang berlainan.”

Mula diperkenalkan menerusi drama Memberku Hawa pada 2013, Fattah berkata, dia kini memilih untuk beraksi di layar perak selepas filem KL Special Force, yang ditayangkan Mac tahun lalu, mendapat sambutan hangat.

“Wajah saya mungkin jarang kelihatan di kaca televisyen, tetapi saya lebih memberikan tumpuan dalam dunia perfileman. Alhamdulillah, saya sudah menyelesaikan penggambaran tiga filem, Mat Kilau, Deleted dan Mimaland, tahun ini.

“Sepatutnya, saya turut menjalani penggambaran sebuah filem bergenre aksi terbitan secara usaha sama produksi Malaysia dan Mongolia, hujung tahun ini, tetapi ia ditangguhkan ke awal tahun depan.

“Insya-Allah, saya akan membintangi beberapa filem lagi, pada 2020. Jadi, istilah mengatakan saya sudah tenggelam tidak betul,” katanya.

Fattah berkata, di sebalik kejayaan seorang lelaki, tentu ada wanita istimewa di sisinya. Begitu juga perjalanan kerjaya dan kehidupan peribadinya.

“Dahulu, saya seorang yang sangat pemalu dan pendiam, namun sekarang ada sedikit perubahan. Isteri menjadi inspirasi untuk saya berubah.

“Saya dan Fazura saling melengkapi selepas dua tahun berkahwin. Alhamdulillah, kami baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan kedua pada 27 November lalu.

“Kami saling mengenali dalam tempoh setahun bercinta dan dua tahun melayari bahtera perkahwinan. Saya kenal baik buruk dan luar dalam isteri. Bagi saya, ia adalah detik yang sangat indah.

“Dalam perjalanan ini, pasangan suami isteri harus bertolak ansur dan faham memahami supaya tidak timbul kepincangan dalam rumah tangga,” katanya.

Fattah berkata, dia tahu ada yang mengatakan detik percintaan dan selepas mendirikan rumah tangga adalah berbeza.

“Saya tidak sangka isteri seorang yang penyayang dan pemurah hati apabila kami duduk serumah. Sebelum berkahwin, saya tahu isteri seorang pemurah, tetapi apabila duduk serumah, sikapnya lebih ketara.

“Fazura suka membantu orang dan semangat menghulurkan pertolongan sangat luar biasa. Dia tidak boleh melihat orang yang disayangi atau kawan rapat dalam kesusahan,” katanya.

Tentunya juga, kata Fattah, tanggungjawabnya sebagai isteri dilakukan dengan baik.

“Walaupun Fazura dianggap sebagai bintang, sikapnya tidak seperti bintang ketika di rumah. Fazura rajin memasak. Saya paling suka sambal udang, sayur kailan ikan masin dan telur goreng hasil air tangannya. Hari-hari masak lauk sama pun saya okay,” katanya.

Kongsi Fattah lagi, sebagai suami, dia tidak pernah mengambil kesempatan.

“Saya turut membantu apa yang patut bagi meringankan bebanan isteri membuat kerja rumah.

“Kami tiada pembantu rumah, jadi kerja rumah dilakukan bersama-sama. Saya dan Fazura tidak suka rumah bersepah,” katanya.

Akui Fattah, bohong jika mereka tidak pernah bermasam muka sepanjang dua tahun hidup bersama.

“Kalau tidak bergaduh ‘manja’, saya takkan kenal pasangan. Saya tidak tahu apa yang dia suka dan sebaliknya.

“Apabila Fazura marah dan merajuk, saya tahu dia tak suka, jadi jangan buat lagi. Fazura tidak suka rumah berselerak dan campak baju merata-rata.

“Fazura juga seorang yang ringkas dan tidak suka bersiap lambat. Dia hanya akan mengambil masa lebih lebih untuk bersiap apabila perlu menghadiri acara tertentu,” katanya.

Soal zuriat, Fattah berkata, dia dan Fazura sudah bersedia menimang cahaya mata. Cuma, belum ada rezeki untuk mereka menyambut kehadiran orang baharu dalam keluarga.

“Saya dan Fazura tidak pernah merancang atau masih dalam tempoh bulan madu. Kami berserah kepada Allah dalam soal rezeki menimang anak.

“Kami sememangnya menantikan kehadiran cahaya mata, pada bila-bila masa. Doakan kami,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X